PENYANDANG Parlimen Batu Tian Chua seperti tidak pasti sama ada mahu mempertahankan kerusinya dalam pilihan raya umum yang akan diadakan tidak lama lagi.
Naib presiden PKR itu yang sebelum ini dilihat yakin bahawa keputusan mahkamah akan memihak kepadanya, memberitahu penyokongnya hari ini bahawa beliau akan mendedahkan “Pelan B” malam ini.
Dan “Pelan B” itu melibatkan kerjasama dengan seorang calon bebas yang akan bertanding di kerusi Batu.
Selepas selesai penghujahan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, Tian Chua meminta penyokongnya untuk berkumpul di Bandar Baru Sentul pada 8.30 malam ini untuk mendengar “pengumuman” tentang bagaimana PKR akan meneruskan kempen di Batu.
“Saya yakin yang mahkamah akan membuat satu keputusan yang adil esok pagi. Bagaimanapun, pilihan raya ini harus diteruskan. Pakatan Harapan dan PKR tidak akan tarik diri daripada pilihan raya ini. Apa pun yang terjadi, kita akan terus berkempen.
“Kami telah mencadangkan supaya disokong seorang daripada calon bebas yang bertanding. Kita akan bekerja keras bagi memastikan Batu tidak terlepas ke tangan Barisan Nasional,” katanya di hadapan kira-kira 200 penyokong yang hadir ke mahkamah hari ini.
P. Prabakaran adalah kemungkinan calon bebas yang akan disokong Tian Chua. Penuntut jurusan undang-undang berusia 22 tahun itu semalam secara terbuka menyatakan kesudian untuk mewakili PKR.
Prabakaran adalah calon termuda yang bakal bertanding dalam pilihan raya kali ini. Jika tindakan undang-undang yang difailkan Tian Chua gagal, Prabakaran akan berhadapan calon daripada BN iaitu Dominic Lau, calon daripada PAS Azhar Yahya dan seorang lagi calon bebas V. M. Panjamoorthy.
Pengumuman Tian Chua itu disambut sorakan “Hidup Tian Chua” dan “Reformasi”.
Beberapa penyokong yang ditemui berkata mereka bersedia untuk menyokong sebarang “Pelan B” yang akan diumumkan parti.
“Bukan saya seorang sahaja yang kecewa. Seluruh rakyat Malaysia patutnya rasa kecewa. Kedaulatan undang-undang telah diubah,” kata Ammar, seorang ahli perniagaan dan penduduk Sentul yang hadir ke mahkamah sejak awal pagi tadi.
Stephen Lee, 59, seorang jurutera berkata: “Tian Chua adalah satu-satunya yang haknya dinafikan. Penduduk Batu, kesemua 75,000 orang, merasakan hak demokratik mereka dirampas. Jika perlu, kami akan terus lawan walaupun selepas habis pilihan raya.”
Tian Chua diputuskan hilang kelayakan untuk mempertahankan kerusinya pada Sabtu lepas oleh pegawai bertugas Anwar Mohd Zaid, menyatakan yang denda berjumlah RM2,000 yang dikenakan terhadap ahli politik itu pada Mac tahun ini kerana menghina seorang pegawai polis menyebabkan beliau tidak layak untuk bertanding.
Ahli politik berkenaan memfailkan tindakan undang-undang, bagi mencabar keputusan tersebut. Mahkamah akan membuat keputusan esok. – 3 Mei, 2018.
Komen