KETUA menteri sementara Melaka Idris Haron hari ini mengingatkan nelayan supaya tidak mempercayai dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan “one off” bajet 2018 diberikan kepada golongan itu hanya kerana pilihan raya umum semakin hampir.
Calon Barisan Nasional (BN) DUN Sungai Udang itu berkata pemberian bantuan RM300 yang diberikan kepada 541 nelayan dari 13 pangkalan nelayan di daerah Melaka tengah hari tadi sebagai memperingati warga nelayan.
“Kita jumpa bukan hanya untuk menang pilihan raya. Menang pilihan raya itu kecil tapi yang lebih besar bagaimana kita nak membina masa depan lebih baik untuk nelayan di negeri ini.
“Jadi kita letakkan niat kita datang, bukan nak jumpa calon, bukan kerana nak dengar kempen hidup Barisan (Nasional).. tidak.
“Kita berjumpa kerana nak cari persamaan yang kecil. Bagaimana untuk buat nelayan duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan profesion lain,” katanya ketika berucap di Dewan Kompleks komuniti Desa Telok Mas hari ini.
Beliau turut mengingatkan jangan percaya dengan tuduhan liar sesetengah pihak yang mengatakan perkara negatif mengenai ekonomi di negeri itu.
Katanya, pada tahun lepas saja, dalam jangka masa empat tahun setengah negeri itu menjana pelaburan sebanyak RM22.5 bilion dan pengumpulan zakat RM85.7 juta.
“Keberhasilan kerajaan bertambah. Kalau tak, masakan kita boleh bagi ‘one-off’ pada hari ini?,” katanya. – 3 Mei, 2018.
Komen