PKR hari ini berkata yang jika Pakatan Harapan (PH) tidak memberikan tekanan kepada Barisan Nasional mengenai Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL), kerajaan pemerintah tidak akan mengeluarkan butiran terperinci projek itu.
Calon PH untuk Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkata demikian susulan laporan media menyebut pemilik projek Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan pemaju utama China Communications Construction Company Ltd (CCCC) sedang mengadakan proses pengambilan pekerja di Bentong, Pahang dengan matlamat pengambilan 70% pekerja warga Malaysa untuk pentadbiran, kejuruteraan, pengurusan pembinaan, komersial, kontrak dan jawatan makmal uji kaji.
“Selepas ditekan, baru sekarang mereka hendak ambil 70% orang Malaysia. Tanpa suara PH, kita tak akan tahu perkara itu. Kerajaan perlu telus dan tak tunggu kita tanya soalan,” katanya pada sidang media di Yayasan Aman, Pulau Pinang hari ini.
PH sudah lama mengkritik ECRL dan kelebihan dinikmati syarikat kontraktor China termasuklah pengecualian Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Nurul Izzah berkata penentangan pembangkang disebabkan mereka bimbang projek kerajaan tidak mengutamakan kepentingan rakyat Malaysia.
Naib presiden PKR itu memetik kebimbangan dibangkitkan sebelum ini oleh ahli ekonomi terkenal dan bekas Pembantu Setiausaha Agung PBB Jomo Kwami Sundaram yang mengatakan perbelanjaan infrastruktur lebih bajet yang sering berlaku dalam kerjasama swasta-awam seperti dalam ECRL.
“Kos projek naik daripada RM27 bilion kepada hampir RM60 bilion. Hampir RM55 bilion datangnya daripada pinjaman dengan China Exim Bank.
“Mereka juga mendakwa menjelang 2035, ECRL akan mengendalikan pengangkutan 60 juta tan barangan…ia tak masuk akal. Keretapi Tanah Melayu (KTM) yang beroperasi di laluan sama hanya mengendalikan 6,000 tan untuk seluruh Semenanjung Malaysia. KTM masih tak untung.”
Nurul Izzah yang merupakan ahli Parlimen Lembah Pantai penggal lepas berkata banyak soalan ditimbulkan di Dewan Rakyat mengenai ECRL tetapi jawapan kerajaan seringkali tidak memuaskan.
“PH tak menentang pelaburan China. Jika ia syarikat Jepun pun, kami masih tanya soalan sama,” katanya. – 3 Mei, 2018.
Komen