Dr Mahathir-Daim berganding bahu lagi, kali ini untuk guling BN


The Malaysian Insight

MEREKA merupakan antara gandingan pemimpin paling mantap dalam Umno, Barisan Nasional (BN) dan Malaysia untuk satu tempoh yang panjang.

Kini dalam tempoh kempen PRU14 yang semakin suntuk, kedua-duanya berganding bahu sekali lagi – tetapi kali ini untuk menumbangkan gabungan parti pemerintah BN dan memenangkan Pakatan Harapan (PH). 

Di Pekan, Pahang hari ini, kedua-duanya bertemu semula di pentas politik. Dr Mahathir Mohamad dan Daim Zainuddin berkempen di Pekan untuk menumbangkan Najib Razak di kerusi disandang perdana menteri itu.

Gambar Dr Mahathir duduk bersama isterinya Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Daim pada program itu tersebar luas melalui sistem aplikasi WhatsApp.

Walaupun masih belum menyertai parti-parti dalam PH, Daim yang masih lagi ahli Umno sudah menyatakan sokongan terbuka kepada gabungan itu.

Pada satu program di Pendang, Kedah baru-baru ini, Daim meminta orang-orang Melayu agar menyokong Dr Mahathir membaik pulih negara ini dengan mengundi PH yang menggunakan logo PKR pada 9 Mei akan datang.

Daim sebelum ini sudah memberikan sokongan kepada calon PH seperti menteri besar sementara Selangor Mohamed Azmin Ali, calon PKR Lembah Pantai Fahmi Fadzil dan calon Bersatu Pendang, Wan Saiful Wan Jan.

Daim yang juga bekas pengerusi Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dikatakan sudah dua kali ke pulau itu untuk berkempen membantu Dr Mahathir.

Di Kedah esok, Daim akan berada di Jerai dan juga Merbok, kerusi yang pernah diwakilinya sebelum ini, dan seterusnya ke Melaka untuk satu program ceramah mega PH.

Pada Sabtu, Daim akan ke Johor untuk berkempen di Muar, tempat calon Bersatu, Syed Saadiq Abdul Rahman bertanding.

Di sebelah malamnya, Daim akan bersama-sama pemimpin PH Johor seperti Salahhuddin Ayub (Amanah), Liew Chin Tong (DAP) dan Shahruddin Md Salleh (Bersatu) pada sebuah program ceramah umum di Ayer Hitam, kubu kuat kepada MCA.

Pada Ahad, program diatur untuk Daim berkempen bagi Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar di Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Nurul Izzah merupakan puteri sulung kepada Anwar Ibrahim yang juga anak didik kepada Daim semasa dalam Umno satu ketika dahulu.

Daim banyak memberikan tunjuk ajar kepada Anwar ketika ketua umum PKR itu mula-mula menjadi menteri kewangan pada 1991. – 3 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen