AHMAD Zahid Hamidi mengkritik bekas Menteri Kewangan Daim Zainuddin yang menyerang Barisan Nasional (BN) kerana beliau sendiri pernah menggunakan simbol parti pemerintah itu pada masa dahulu, lapor akhbar Sinar Harian hari ini.
Daim mendakwa calon yang menggunakan simbol dacing BN sebagai penipu.
Zahid berkata kenyataan itu seperti “meludah ke langit, lalu terkena muka sendiri” kerana parti itulah yang bertanggungjawab memberikan kejayaan kepada mereka suatu ketika dahulu.
“Malah parti itu juga yang menjadikan orang itu menteri kewangan, tetapi kini mereka mempunyai agenda peribadi untuk menaikkan kroni masing-masing hingga telah berbalik bicara,” katanya pada satu majlis di Kampung Banang, Hutan Melintang semalam.
Beliau turut mendakwa yang kenyataan Daim itu dikeluarkan kerana kebencian melampaunya terhadap BN disebabkan salah seorang anak lelakinya gagal menjadi naib presiden Umno.
“Kalau orang lain boleh bersabar selama 34 atau 40 tahun, soal kepimpinan adalah soal kehendak rakyat bukan kehendak seseorang, bukan menikam BN dari belakang dan kita harus mengetahui bahawa kita jadi hebat bukan kerana nama seseorang itu, kita hebat kerana parti yang mendukung kita, Umno dan BN dan parti komponen BN lain.”
Daim secara terbuka menunjukkan sokongan kepada Pakatan Harapan dengan hadir memberi ceramah di kempen diadakan calon PH seperti Azmin Ali dan Fahmi Fadzil.
Pada salah satu majlis pembangkang di Pendang, Kedah Daim menggesa pengundi memberikan undi kepada simbol “mata” (pembangkang) mendakwa yang “dacing” (BN) kini sudah jadi penipu. – 3 Mei, 2018.
Komen