PAKATAN Harapan (PH) perlu meraih undi peneroka Felda dan penduduk Sabah untuk menang pilihan raya, kata Daim Zainuddin hari ini.
Bekas menteri kewangan itu menjangkakan jika deposit undi tetap Barisan Nasional itu berjaya diruntuhkan, kemenangan akan berpihak kepada PH.
“Jika kita dapat Felda dan Sabah, kita akan menang. Mereka sangat bimbang di situ (akan beralih undi),” katanya kepada wartawan di Pekan, Pahang hari ini.
Daim dikenali ramai kerana jangkaannya mengenai Pilihan Raya Umum 2018 benar-benar menjadi kenyataan apabila beliau mengatakan akan wujud peralihan besar-besaran pengundi kepada pembangkang.
Terdapat 25 kerusi Parlimen di Sabah dan 52 kerusi Parlimen mempunyai penempatan Felda yang merupakan kubu kuat orang Melayu.
Katanya, peralihan undi yang paling ketara akan berlaku di Sabah dan Johor.
“Akan ada perubahan besar di Sabah. Akan wujud perubahan kerajaan. Sudah berlaku beberapa perubahan kepada kerajaan negeri sebelum ini,” katanya lagi.
Di Johor pula, Daim merasakan rakyat sudah bersedia untuk berubah tetapi ia bergantung sama ada pemimpin PH berjaya menyakinkan mereka berbuat demikian.
“Di Johor, akan akan perubahan jika Muhyiddin Yassin mempertahankan kerusi dan PH di sana buat kerja.
“Ada mood perubahan. Kerajaan banyak buat silap di sana. Rakyat sudah tak tahan,” katanya.
Negeri lain yang masih belum jelas nasibnya adalah Perak, Negeri Sembilan dan Kedah, tambah Daim.
PAS akan terus berkuasa di Kelantan, Pahang akan kekal di bawah Barisan Nasional, Selangor dan Pulau Pinang pula akan terus dipimpin PH, katanya lagi.
Daim tidak menyentuh Sarawak dan Melaka kerana menurutnya masih tidak sempat ke sana untuk menilai sentimen rakyat.
Jumaat ini Daim akan ke Melaka untuk memberikan ceramah bersama-sama bekas Menteri Industri dan Perdagangan Antarabangsa Rafidah Aziz dan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. – 3 Mei, 2018.
Komen