MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur akan membuat keputusan pagi esok berkaitan saman pemula difailkan penyandang kerusi Batu, Tian Chua terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak membenarkan beliau mempertahankan kerusi Parlimennya Sabtu lepas.
Hakim Nordin Hassan memberitahu yang mahkamah akan memutuskan sama ada ia mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan Tian Chua sebagai calon yang layak untuk Parlimen Batu seterusnya membolehkan beliau bertanding mempertahankan kerusi itu.
Peguam Kanan Persekutuan SPR Amarjeet Singh berhujah yang Tian Chua sepatutnya memfailkan petisyen pilihan raya selepas pengundian 9 Mei dan bukannya membawa kes itu ke mahkamah.
Penyokong Tian Chua memenuhi dalam dan luar mahkamah bersorak apabila Tian Chua melambai ke arah mereka dan bergegas mengadakan sidang media di lobi mahkamah tengahari tadi.
Tian Chua memfailkan saman pemula kepada Pengurus Pilihan Raya Anwar Mohd Zaid dan SPR Isnin lalu selepas beliau dilucutkan hak sebagai calon pilihan raya untuk Parlimen Batu atas alasan dikenakan denda RM2,000 oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2 Mac tahun ini kerana menghina seorang pegawai polis.
Sebelum itu, peguamnya, Ngeow Cheo Ying berhujah yang Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2010 memutuskan yang maksud denda RM2,000 yang diperlukan untuk melucutkan hak seorang ahli Parlimen dalam Seksyen 48 (1) (e) Perlembagaan Persekutuan bermula pada kadar RM2,001 dan ke atas.
Katanya, perkara itu sudah menjadi “undang-undang tetap” dan Tian Chua dibenarkan untuk bertanding pada 2013 walaupun dikenakan pernah didenda RM2,000.
Hari ini, Nordin berkata beliau baru menerima undang-undang kes itu pagi tadi dan perlu menelitinya sebelum membuat keputusan.
“Saya calon yang betul,” kata Tian Chua kepada wartawan selepas hujahan pagi tadi.
“Saya percaya mahkamah akan beri keadilan kepada kami, jadi kes saya akan didengar.”
Ketua pasukan peguam Tian Chua, Gurdial Singh yang mengetuai lapan peguam berkata mereka tidak mencabar keputusan pilihan raya.
“Pegawai pengurus menentang undang-undang sedia ada, dan Pejabat Peguam Negara cuba mengatakan kami tidak boleh membincangkan statusnya.
“Kami mahu statusnya dipastikan terlebih dulu. Mahkamah ini perlu putuskan. Mahkamah ini perlu berdepan dengan isu perlembagaan,” katanya. – 3 Mei, 2018.
Komen