Maklum balas laporan PAC dalam proses, kata menteri kesihatan


Dr Zaliha Mustafa berkata pihaknya akan bekerjasama jika ada lagi maklumat yang diperlukan PAC. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 November, 2023.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) sedang menyediakan laporan maklum balas berhubung syor Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung pengurusannya semasa pandemik Covid-19, kata Dr Zaliha Mustafa.

Menteri kesihatan berkata kementeriannya memberikan kerjasama penuh berhubung perkara itu kepada PAC.

“Kami sedang menyediakan maklum balas kepada PAC. Jika ada lagi maklumat yang diperlukan jawatankuasa, kami akan bekerjasama,” katanya kepada media selepas Hari Integriti kementerian di Putrajaya hari ini.

Bagaimanapun, Zaliha tidak memberikan butiran lanjut mengenai laporan itu.

Semalam, Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin berkata KKM dijangka menjawab lima syor diberikan PAC menjelang bulan depan.

Ini susulan laporan jawatankuasa baru-baru ini mengenai pengurusan Covid-19 negara di bawah kementerian itu.

“Pada Disember nanti, insya-Allah kami akan mendapat maklum balas (berdasarkan cadangan kami) daripada KKM,” kata Mas Ermieyati Samsudin semasa sidang media jawatankuasa itu semalam.

Pada 2 November, PAC memberi tempoh dua bulan kepada KKM untuk menjawab lima syor yang diberikan oleh jawatankuasa itu.

Pada 30 Oktober, PAC membentangkan laporan yang mendedahkan isu perolehan ventilator yang tidak berfungsi melalui WhatsApp, vaksin tamat tempoh dan pembelian berlebihan peralatan pelindung diri (PPE).

Dalam laporan itu, PAC berkata 104 daripada 136 ventilator yang dibekalkan oleh Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd (PLSB) pada Mei 2020, diperoleh untuk pesakit Covid-19 melalui WhatsApp dengan kos RM24.1 juta, akhirnya tidak dapat digunakan. – Bernama, 15 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen