ISU bekalan air menjadi modal utama kempen Barisan Nasional (BN) di Selangor, namun tinjauan di kerusi disandang menteri besar sementara Azmin Ali menunjukkan ia tidak begitu berkesan di hati pengundi.
Kalangan pengundi Gombak yang ditemui Malaysia Decides juga mahu mengekalkan Azmin di kerusi tersebut kerana berpuas hati dengan prestasinya.
Mangala Geetha, 45, yang menetap di Batu Caves lebih 20 tahun lalu berkata beliau percaya dakwaan dalam laporan berita mengenai masalah air di Selangor tidak benar.
“Isu air kita sudah bertahun-tahun duduk tiada masalah. Berita yang kata ada masalah adalah tipu. Kita yang duduk sini kita lagi tahu.
“Ada masalah pun sebab untuk bersihkan air untuk kebaikan kita. Mereka juga hantar lori air. Tiada catuan. Kejadian sebelum ini kemalangan di Loji SPLASH yang belum diambil alih kerajaan negeri,” katanya.
Begitu juga pandangan, Aishah Basir, 59, seorang pengundi di Hulu Kelang, Gombak. Beliau mahu mengekalkan Azmin kerana tidak percaya dengan isu air yang dicanangkan BN.
“Kita tidak percaya isu krisis air. Tengok berita boleh. Percaya belum tentu. Sekarang makcik rasa selesa dengan wakil rakyat sini,” katanya yang turut gembira kerana menerima banyak bantuan.
Nabila Ahmad, 35, berkata penduduk Gombak mahu Pakatan Harapan (PH) mengekalkan pentadbiran kerana banyak insentif diwujudkan selama dua penggal memerintah.
“Kita gembira dengan Selangor sekarang. Dari lahir sampai mati dapat insentif bantuan. Kahwin, dan anak belajar pun dapat bantuan,” katanya.
Azmin pada 2008 mengalahkan calon BN Said Anuar Said Ahmad dengan 6,867 undi.
Beliau berjaya mengekalkan kerusi tersebut pada 2013 apabila menewaskan calon BN Raman Ismail, namun jumlah majoriti undinya merosot kepada 4,734.
Pemimpin akar umbi PAS di Gombak percaya Azmin tidak dapat meneruskan penguasaan untuk penggal ketiga kerana kemenangannya berpunca daripada undi PAS sebelum ini.
Salah seorang petugas PAS Gombak yang hanya mahu dikenali sebagai Idham berkata penyokong kebanyakannya tiada masalah dengan Azmin tetapi timbalan presiden PKR itu tetap akan kehilangan undi kerana ahli parti Islam itu perlu setia pada parti.
“Saya sendiri tidak terkesan masalah air dan tiada masalah dengan Azmin. Tetapi ahli PAS memang setia pada partinya. Jadi kami memilih parti kami. Calon kami juga bersaing hebat,” kata jentera parti itu.
Kali ini, PAS turut bertanding menentang Azmin dalam pertandingan tiga penjuru dengan menampilkan tokoh pemudanya, seorang bekas jurutera Petronas, Khairil Nizam Khirudin. – 3 Mei, 2018.
Komen