PELAKSANAAN Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilakukan Putrajaya yang lemah membebankan rakyat, kata Daim Zainuddin hari ini.
Bekas menteri kewangan itu berkata cukai kepenggunaan itu bermatlamat menghukum rakyat berbanding menjadi sistem percukaian yang lebih telus dan bermanfaat.
“GST ada di seluruh dunia tetapi orang tak merungut. Tetapi, kenapa di sini? Pelaksanaannya teruk. Ia membebankan rakyat.
“Ia cukai yang penting tetapi jangan hukum rakyat. Mereka tak bersedia. Bila awak tak cukup duit, jangan hukum rakyat,” kata Daim kepada Malaysia Decides di Pekan, Pahang.
Bekas bendahari Umno itu menyalahkan Najib Razak kerana melaksanakan GST yang dianggapnya untuk membayar hutang.
“Mana-mana dasar yang ambil duit rakyat, ia perlu dikembalikan semula. Buat benda baik dengan duit itu, bukan bayar hutang,” katanya.
Daim menambah jika Pakatan Harapan berkuasa, mereka akan menghapuskan GST seterusnya menurunkan kembali harga barang.
“Jika kita hapuskan GST, barang akan jadi lebih murah. Kami tak menipu. Ia akan berlaku. Ia kenyataan.”
Tokoh perniagaan dan kewangan ternama itu berkata PH juga akan mengecilkan saiz kabinet dan menghapuskan korupsi bagi meningkatkan pendapatan negara.
Bekas menteri kewangan itu secara terbuka memberikan sokongan kepada calon PH seperti penyandang Menteri Besar Selangor Azmin Ali, calon PKR Lembah Pantai Fahmi Fadzil, calon Pendang Wan Saiful Wan Jan dan kini menyokong calon Pekan, Zahid Mat Arip.
Kemelut antara Daim dan Najib bermula apabila beliau mendakwa pentadbiran sekarang tidak melaksanakan dasar kewangan dan ekonomi yang boleh memberi manfaat kepada negara.
Daim juga dilaporkan berhasrat membantu kempen Dr Mahathir di Langkawi. Beliau pernah menerajui badan pembangunan daerah itu sebelum ini.
Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Rafidah Aziz juga secara terbuka menyatakan sokongan kepada PH dan bukan lagi BN pada PRU14.
Ketiga-tiga tokoh besar negara dan bekas menteri utama itu dijadual membuat penampilan bersejarah di Melaka Jumaat ini. – 3 Mei, 2018.
Komen