KETUA pembangkang Dr Mahathir Mohamad menggesa ahli Umno di seluruh negara untuk mempertimbangkan semula sokongan mereka terhadap presiden parti itu, Najib Razak.
Dalam satu surat bertarikh 17 April ditujukan kepada semua ahli Umno, pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata Umno yang pernah menjadi satu parti yang mulia kini menjadi parti dibenci oleh majoriti orang Melayu.
“Anda boleh nafikan kenyataan ini tetapi hakikatnya ialah parti diketuai Najib ini bukan Umno yang dulu.
“Fungsinya dan tujuannya kini untuk semua jenayah yang dilakukan Najib supaya dia boleh terus jadi perdana menteri Malaysia,” katanya.
Dr Mahathir berkata rakyat dibebani kos sara hidup yang tinggi, cukai barangan dan perkhidmatan (GST), subsidi petrol rendah dan banyak lagi.
“Sokongan anda untuk Najib akan menjadikan keadaan negara tercinta kita ini semakin teruk.
“Bolehkah anda lihat daripada negara yang dipandang tinggi oleh dunia, Malaysia kini menjadi negara rasuah yang diketuai oleh penjenayah yang diketawakan oleh dunia,” katanya.
Beliau berkata Bersatu mencabar Umno bukan kerana Bersatu menentangnya, tetapi kerana ia bukan lagi Umno yang dulu.
Dr Mahathir menyertai Umno pada 1946 dan keluar parti pada 2016.
Beliau juga menghantar satu lagi surat, dua minggu kemudian kepada jeneral pasukan tentera, menggesa mereka dan pasangan untuk mengundi secara bebas pada hari mengundi. – 3 Mei, 2018.
Komen