‘Penipuan’ ketika penamaan calon dorong Daim sokong Pakatan


The Malaysian Insight

“PENIPUAN” yang berlaku pada hari penamaan calon minggu lalu menjadi pencetus kepada tindakan Daim Zainuddin untuk akhirnya keluar dan menyokong Pakatan Harapan (PH).

Bekas menteri kewangan itu berkata beliau berang dengan apa yang berlaku terhadap calon PKR Tian Chua dan Streram, untuk kerusi Parlimen Batu dan Rantau, apabila tidak dibenarkan untuk bertanding pada PRU14.

Daim berkata “penipuan” di dua pusat penamaan calon itu menjadi titik akhir kesabarannya dan menyebabkan beliau menyertai kempen untuk PH.

“Saya tidak setuju dengan kerajaan sudah lama tetapi saya senyap saja. Dan ketika penamaan calon, Tian Chua tidak layak dan di Seremban, calonnya tidak dibenarkan menghantar kertas penamaan langsung.

“Mana demokrasi di negara ini? Ini sebabnya saya terpaksa keluar untuk menyokong PH,” katanya di Pekan, Pahang.

Beliau turut mencabar Pengerusi BN Najib Razak untuk menjadi “lelaki budiman” dan bertanding secara adil, bukannya menggunakan cara tidak elok.

“Perlu ada kedaulatan undang-undang. Awak perlu hormati lawan. Jangan gunakan undang-undang yang salah hanya untuk memastikan awak menang. Anda perlu jadi budiman dan lawan,” kata Daim.

Daim yang dikenali menjadi individu penting di belakang setiap operasi penting, baru-baru ini menyertai kempen PH.

Beliau secara terbukan keluar berkempen untuk calon PH termasuk menteri besar sementara Selangor Azmin Ali, calon PKR Lembah Pantai Fahmi Fadzil, calon Pendang Wan Saiful Wan Jan dan kini berada di Pekan untuk calon Bersatu, Zahid Mat Arip.

Daim mengkritik Najib kerana tidak melaksanakan dasar kewangan dan ekonomi yang betul untuk memberi manfaat kepada Malaysia. – 3 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen