Zahid beri bayangan jawatan menteri untuk pengerusi MCA Perak


The Malaysian Insight

DALAM usaha mengekalkan kubu kuat Barisan Nasional (BN) di selatan Perak iaitu Tanjung Malim, timbalan perdana menteri sementara Ahmad Zahid Hamidi memberi gambaran beliau akan melobi untuk jawatan menteri bagi calon BN, Dr Mah Hang Soon jika menangi kerusi itu.

“Jika dia boleh pertahankan Tanjung Malim, saya akan bisik-bisik pada perdana menteri (sementara) Najib Razak untuk beri Dr Mah Hang Soon tempat yang baik,” katanya ketika melawan kawasan itu petang semalam.

Zahid melawat pengundi di Bidor, bandar majoriti Cina, dan Sungkai, kawasan majoriti India.

Dr Mah ialah pengerusi MCA Perak dan bekas exco negeri.

Baru-baru ini Najib mengulangi ugutannya terhadap masyarakat Cina bahawa jawatan MCA akan semakin berkurangan dalam Kabinet jika BN gagal mendapat sokongan kuat Cina.

Langkah BN untuk menggantikan penyandang ahli Parlimen Tanjung Malim dan Setiausaha Agung MCA Ong Ka Chuan juga menyebabkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong setia Ong di kawasan itu.

Tanjung Malim mempunyai 68,634 pengundi, dengan 55.5% Melayu, 25.6% Cina, 13% Indian dan 5.9% Orang Asli.

BN menang kerusi itu dengan 4,328 undi pada 2013.

Zahid juga mengulangi janjinya untuk menjadikan calon BN di Sungkai, V Elango exco negeri jika pengerusi MIC Perak itu menewaskan penyandang, A Sivanesan.

Sungkai, satu daripada tiga kerusi DUN di bawah Tanjung Malim, dimenangi oleh DAP pada 2008 dan 2013.

Umno menang dua lagi kerusi DUN iaitu Slim dan Behrang pada 2013.

Zahid juga berjanji akan menyelesaikan isu tempatan masyarakat Cina termasuk tiada taraf warganegara dan membawa pelaburan Jepun ke Sungkai.

Menteri dalam negeri sementara itu juga berjanji bersungguh-sungguh, bersumpah akan kembali ke Tanjung Malim dalam tempoh 150 hari selepas PRU14 untuk mengotakan janjinya. – 3 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen