Pemandu bunyikan hon, beri sumbangan tanda sokong Hannah Yeoh


The Malaysian Insight

MEREKA hanya perlu menekan hon untuk menyatakan sokongan kepada Hannah Yeoh, tetapi ada yang berhenti memberikan sumbangan.

Walaupun lebuhraya sesak pagi tadi, ia tidak menghalang beberapa pemandu untuk berhenti dan memberikan sumbangan atau mengambil swafoto dengan Hannah di persimpangan LDP berhampiran Desa Park City.

Calon PKR Segambut itu berada di situ untuk kempen yang digelar pasukannya sebagai “flash mob”.

Yeoh dan pasukannya berdiri di sana hampir sejam mengibar bendera PKR dan sepanduk meminta pengguna kenderaan membunyikan hon sebagai tanda sokongan yang disambut baik orang ramai. Tetapi ada juga yang menghentikan kenderaan mereka untuk berswafoto dan menyampaikan sumbangan untuk kempennya.

Acara itu turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook dan mendapat 4200 tontonan.

Beberapa orang penduduk Desa Park City menyedari lintas langsung itu dan datang mengambil bahagian menawarkan bantuan tenaga.

“Pasukan kami terdiri daripada sukarelawan.  Boleh kata yang rakyat sudah penat dengan pentadbiran Najib Razak dan mereka mahukan perubahan,” kata Yeoh kepada Malaysia Decides.

Ini adalah hari kedua Yeoh berbuat kempen gerila itu, dan untuk kali terakhir dalam tempoh berkempen, Yeoh mengatakan beliau merancang mengadakan satu lagi acara itu di sekitar tempat strategik di Segambut.

“Saya mula dapat mesej di Instagram mengatakan mereka duduk di London tetapi pengundi Segambut dan akan balik mengundi,” katanya.

Yeoh berdepan pertandingan tiga penjuru menentang Loga Bala Mohan Jaganathan (MyPPP) dan Mohd Solleh Abdul Karim (PAS). Kerusi itu sebelum ini dipegang Lim Lip Eng (DAP) untuk dua penggal sejak 2008. Beliau menang dengan majoriti undi 19,199 pada 2013.

Menurut data Suruhanjaya Pilihan Raya, Segambut mempunyai 77,9566 pengundi, 27.53% (Melayu), 58.93% (Cina) dan 11.77% India. – 3 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen