Kerajaan belum berhasrat kawal selia tambang e-hailing, kata Loke


Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata perkara itu perlu dilihat pada imbangan kadar upah pemandu secara keseluruhan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 November, 2023.

KERAJAAN belum berhasrat untuk mengawal selia tambang perkhidmatan e-hailing dan akan mengekalkan dasar sedia ada buat masa ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Loke berkata kerajaan tidak melakukan kawalan harga atau menetapkan harga lantai kepada kadar yang diberikan kepada pemandu berikutan perkara itu perlu dilihat pada imbangan kadar upah pemandu secara keseluruhan.

“Bagi saya, apa yang diminta untuk dinaikkan kadar akan memberi implikasi pada harga tambang pengguna… Jadi kita perlu lihat pada satu perimbangan bahawa e-hailing ini menggunakan satu sistem mekanisme harga dinamik iaitu bergantung kepada penawaran dan permintaan.

“Setakat ini dasar sedia ada kita kekalkan, tetapi kita akan terus berhubung dan adakan perbincangan dengan syarikat e-hailing dari semasa ke semasa supaya kita dapat cari satu kaedah tanpa kerajaan meletakkan syarat selain, melihat apakah insentif yang boleh diberikan syarikat e-hailing kepada pemandu untuk tingkatkan pendapatan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini ketika menjawab pertanyaan Larry Soon (PBM-Julau) berhubung tindakan susulan kementerian berhubung isu harga tambang yang dikatakan terlalu rendah sehingga merugikan pekerja sektor ekonomi gig.

Menjawab soalan tambahan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) mengenai pembaharuan kepada penggiat industri teksi seluruh negara, Loke berkata penggiat industri teksi digalakkan untuk turut sama menggunakan sistem e-hailing.

Berdasarkan dasar sistem e-hailing ketika ini, beliau berkata pemilik kenderaan persendirian dan pemilik teksi dibenarkan untuk terlibat dalam sektor e-hailing sekali gus, beroperasi dalam dua sistem iaitu straight hailing dan e-hailing. – Bernama, 14 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen