JIKA 10% pengundi di seluruh negara beralih undi, ia sudah cukup untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN), kata Daim Zainuddin dan berkata tidak perlu berlakunya tsunami Melayu.
Bagi mencapainya, bekas menteri kewangan itu berkata gabungan pembangkang Pakatan Harapan (PH) perlu bekerja lebih keras dan menewaskan BN di kerusi bandar dan separa bandar.
Daim memberitahu akhbar Cina, Nanyang Siang Pau bahawa kejayaan atau kegagalan dalam PRU kali ini terletak pada kawasan separa bandar, dan jika PH boleh menang di kerusi berkenaan, ia mempunyai peluang cerah untuk merampas kuasa persekutuan.
Beliau berkata pengundi bandar menyokong pembangkang selama ini dan PH tidak akan berdepan kesukaran untuk memenangi kerusi berkenaan.
“Kewujudan Internet dan media sosial menjadikan ia terbuka kepada semua, terutama golongan muda di kawasan separa bandar, untuk mendapatkan makluman.
“Mereka juga tahu isu dan BN jelas menghadapi kesukaran untuk menjelaskan banyak isu besar kepada umum,” kata Daim dalam temu bual yang disiarkan hari ini di Nanyang Siang Pau.
Daim berkata kes rasuah membabitkan Felda, Tabung Haji dan agensi kerajaan yang lain disebarkan secara meluas.
“Kawasan separa bandar di mana pengundi Melayu ada pengetahuan tentang perkara itu sudah tentu akan berfikir mengenainya dan sokongan kepada Umno akan terjejas,” katanya.
Tetapi, Daim yang kini turut serta dalam kempen untuk PH tidak meramalkan siapa akan menang PRU14 dan membentuk kerajaan.
“Saya rasa tiada siapa tahu siapa akan menang. Saya hanya boleh kata ini PRU paling penting sejak kemerdekaan. Ia membabitkan masa depan negara,” katanya.
Bagaimanapun, katanya PH akan menang di Kedah dan Perak serta kekal di Selangor dan Pulau Pinang. Pertandingan di Sabah dan Johor 50-50.
Daim berkata kerajaan PAS di Kelantan juga akan jatuh tetapi tidak memberitahu siapa yang akan membentuk kerajaan negeri baharu.
Bagi Negeri Sembilan, Daim berkata PH memerlukan calon menteri besar yang baik dan ia boleh menang.
Ramalan Daim dalam PRU selalunya tepat. Pada 2008, beliau meramalkan kejatuhan Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor kepada gabungan Pakatan Rakyat.
Sebelum PRU 20133, Daim menyatakan BN tidak akan menang besar tetapi ia akan merampas semula Kedah. – 3 Mei, 2018.
Komen