SEJAK tempoh berkempen berlangsung, satu persoalan timbul; adakah calon bertanding dalam pilihan raya yang sama?
Perbezaan gaya dan kaedah berkempen sangat ketara bak langit dan bumi.
Kempen calon Barisan Nasional (BN) berkisar kepada kestabilan dan khidmat kepada rakyat tetapi senyap seribu bahasa tentang gajah depan mata - 1MDB.
Mereka mengadakan lawatan ke pasar, kunjungan rumah ke rumah pengundi, menabur janji dan memastikan Ketua BN Najib Razak turun padang untuk berjanji besar. Selain daripada aktiviti itu, mereka hanya bercakap tentang janji untuk kawasan ditandingi.
Mereka juga pastikan dalang komunikasi strategik BN, Eric See untuk menyelar kerajaan Pakatan Harapan di Selangor dan Pulau Pinang. Malah, mereka juga pastikan tukang karut 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda menjelaskan skandal kewangan rentas negara itu- yang pastinya pada pandangan ketua eksekutif itu bukanlah satu skandal besar pun.
Calon BN tidak bercakap tentang urus tadbir, mereka hanya bercakap tentang khidmat dan kestabilan. Sebuah video menampilkan ketua pegawai eksekutif syarikat berkaitan kerajaan juga memastikan pegawai besar itu menyanyikan lagu “Hebatkan Negaraku” yang merupakan lagu kempen BN. Lagu itu sekarang turut dinyanyikan penyanyi popular tanah air.
Calon pembangkang pula mengambil jalan berbeza. Mereka mengangkat isu skandal korupsi, cukai menekan dan perlunya rakyat mendapat kerajaan yang bersih.
Mereka menggunakan sepenuhnya Facebook, Whatsapp, WeChat dan pelbagai aplikasi media sosial lain untuk menghebahkan berita, pandangan dan video kempen mereka.
Mereka juga mengadakan ceramah terbuka untuk menarik perhatian pengundi atas pagar dan rakyat yang masih belum buat keputusan, malah mengajak pemimpin politik veteran menyertai kempen pembangkang.
Mereka menggunakan keberkesanan pentadbiran Selangor dan Pulau Pinang bagi menjustifikasikan manifesto mereka.
Calon PAS pula masih berpegang kepada taktik cuba uji mereka, melawat masjid dan berceramah di sana. Mereka juga menyelar kedua-dua pihak, BN dan PH.
Dengan hanya enam hari sahaja sebelum rakyat Malaysia turun mengundi pada 9 Mei, kita semua masih ternanti-nanti kejutan dan serangan maut yang bakal terjadi kepada mana-mana pihak, yang seterusnya akan menentukan nasib kalah menang mereka pada PRU14. – 3 Mei, 2018.
Komen