Dr Mahathir tidak kisah disiasat di bawah akta berita palsu


The Malaysian Insight

DR Mahathir Mohamad menepis siasatan terbaru polis terhadapnya, dan kali ini di bawah Akta Anti Berita Palsu 2018, susulan kenyataannya mendakwa pesawatnya disabotaj.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata beliau tidak peduli, ketika ditanya tentang siasatan polis, menambah beliau sudah disiasat banyak kali sejak beberapa tahun lalu.

“Mereka boleh guna apa saja akta untuk siasat saya. Saya tidak takut, saya sudah banyak kali disiasat,” katanya kepada wartawan selepas menghadiri ceramah Jelajah Pakatan Harapan di Kuantan, Pahang malam tadi.

Negarawan berusia 93 tahun itu disiasat polis berhubung kenyataannya mendakwa pesawatnya disabotaj ketika hendak ke Langkawi pada malam penamaan calon minggu lalu.

Bekas perdana menteri itu mendakwa ia bagi menghalangnya menghantar kertas penamaan calon keesokan harinya.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) yang menyiasat tuduhan Dr Mahathir mendapati tidak ada kesan perbuatan mencemar pesawat itu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim terdahulu berkata satu laporan terhadap Dr Mahathir dibuat tetapi enggan menamakan nama pengadu.

Bekas menteri kewangan Daim Zainuddin berkata siasatan terhadap Dr Mahathir hanya tindakan “bodoh”.

Bercakap pada ceramah di rumah kos rendah di Kerinchi, Kuala Lumpur, malam tadi Daim mempertikaikan bagaimana aduan tentang tayar pesawat rosak boleh dianggap berita palsu.

Awal minggu ini, seorang warganegara Denmark menjadi individu pertama dihukum di bawah akta baharu itu, susulan video berkenaan anggota Hamas ditembak di Kuala Lumpur, dimuat naik ke YouTube.

Salah Salem Saleh Sulaiman, 46, mengaku bersalah dalam kes itu dan dihukum penjara seminggu serta denda RM10,000. – 3 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen