BN Kedah kata Daim tak berpengaruh, hanya harap maklumat media sosial


The Malaysian Insight

PEMIMPIN Umno Kedah percaya veteran parti tersebut, Daim Zainuddin tidak berpengaruh dan tidak mempunyai maklumat berwibawa untuk membuat jangkaan keputusan pilihan raya.

Exco kerajaan negeri sementara, Suraya Yaacob berpendapat, jangkaan Daim bahawa Kedah akan tumbang ke tangan pembangkang semula juga tidak berasas.

“Beliau tidak jumpa siapa pun cuma jumpa jentera parti saja, dan yang lapor cuma media sosial. Tun Daim selama ini sebenarnya tidak ada pengaruh pun,” katanya kepada Malaysia Decides di Alor Setar, Kedah.

Suraya mendakwa, bekas ahli Parlimen Merbok itu tidak pernah dilihat berhubung dengan rakyat di kawasannya sewaktu menjadi wakil rakyat di situ dari 1986 hingga 2004,.

“Beliau selama ini bertanding saja di Parlimen Merbok, tapi tak pernah berkempen dan berjumpa dengan rakyat secara keseluruhan.

“Beliau cuma menjadi menteri kewangan saja tapi tidak pernah berhubung dengan rakyat, jadi kita memang anggap Tun Daim tidak ada sebarang pengaruh yang dapat membantu kemenangan PH.”

Daim merupakan satu-satunya individu yang membuat jangkaan keputusan yang tepat menjelang pilihan raya umum 2008.

Gabungan parti pembangkang berjaya merampas lima negeri, termasuk Kedah dalam pilihan raya umum itu, mengikut jangkaannya.

Jangkaan berkas menteri kewangan itu menjelang Pilihan Raya Umum 2013 juga tepat, bahawa parti pimpinan Najib Razak akan menang dalam pilihan raya berkenaan.

Pada waktu itu, beliau masih menyokong perdana menteri itu, namun kali ini Daim beralih menyokong Dr Mahathir Mohamad, yang kini memimpin gabungan parti Pakatan Harapan menentang Najib.

Terbaru, beliau menjangkakan bahawa PH berpeluang untuk menang di Kedah dan Perak, selain mengekalkan Pulau Pinang dan Selangor.

Dalam satu wawancara dengan akhbar berbahasa Cina Nanyang Siang Pau, Daim juga menyebut, kerajaan BN akan tewas sekiranya 10 peratus undi beralih kepada PH.

Menurut penganalisis, jangkaan Daim tidak harus diambil mudah kerana bekas menteri tersebut pastinya mengetahui sesuatu sehingga mengambil langkah drastik berkempen menyokong Dr Mahathir.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen