‘Jalan Harmoni’ Pulau Pinang beri pengajaran hidup bersama


Looi Sue-Chern

Masjid Kapitan Keling yang berusia ratusan tahun adalah sebahagian rumah ibadat di Jalan Harmoni Pulau Pinang selain Gereja St George, Kuil Taoist Goddess of Mercy, kuil Hindu Sri Mahamariamman dan Kuil Taoist Hock Teik Cheng Sin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 10 Jun, 2017.

JALAN sepanjang 800 meter di tengah George Town, ibu kota Pulau Pinang mungkin memegang rahsia mengenai pencapaian keharmonian agama dan kaum, satu matlamat yang semakin sukar difahami di Malaysia yang berbilang bangsa.

“Jalan Harmoni” bermula di Gereja St George di Jalan Masjid Kapitan Keling dan Masjid Acheen Street di penghujung simpang Lebuh Cannon dan Lebuh Acheh.

Di antara gereja Anglican itu dan masjid Lebuh Acheh, terdiri beberapa rumah ibadat kurun ke-19 yang lain – Kuil Taoist Goddess of Mercy, kuil Hindu Sri Mahamariamman, masjid Kapitan Keling dan Kuil Taoist Hock Teik Cheng Sin.

Di tengah-tengah kawasan itu ialah rumah nenek moyang keluarga masyarakat Cina yang berpengaruh pada kurun ke-20 iaitu Khoo Kongsi dan Yap Kongsi.

Tempat perdagangan dan perlindungan

Pengerusi Think City Dr Anwar Fazal, yang mencadangkan penjenamaan harmoni untuk jalan warisan itu beberapa tahun lalu, berkata Pulau Pinang mempunyai aset besar yang menceritakan kisah hebat bagaimana masyarakat berbeza kaum dan agama boleh bersama membina kehidupan baharu.

Katolik Thailand, pedagang India Muslim, pekerja pendatang dan pedagang dari China, dan Armenia mencari perlindungan daripada peperangan, datang ke Pulau Pinang untuk mencari tempat selamat, peluang perniagaan serta masa depan lebih baik.

Anwar yang juga pemegang amanah Penang Heritage Trust berkata negeri itu ialah tempat pertemuan pelbagai budaya, agama dan kepercayaan.

“Pulau Pinang ada tempat untuk seorang orang. Kota ini beri penduduknya dan pelawat rasa selamat, universal dan saling berhubung dengan saudara mereka,” katanya.

Masyarakat yang berbeza membina rumah ibadat mereka dan hidup bersama di sekitar Jalan Masjid Kapitan Keling, dulunya dikenali sebagai Pitt Street. Ia jalan utama di George Town yang pernah dijajah, di mana perniagaan berkembang dan orang ramai hidup dengan aman.

“Setiap bangsa dan kepercayaan ada pelbagai variasi. Muslim datang dari India, China, Timur Tengah dan Indonesia; orang India datang dari pelbagai pelosok India.

“Orang China datang dengan agama Buddha mereka, Konfusianisme, Taoist dan dengan dialek pelbagai. Anda boleh jumpa setiap ungkapan agama Buddha dan Hindu di Pulau Pinang,” katanya merujuk kepada budaya dan kepercayaan yang ada di negeri itu.

Walaupun orangnya sangat berbeza, mereka mengalami perubahan antara kaum, agama dan kerjasama perniagaan sejak awal lain, selain perkahwinan antara mereka yang berbeza bangsa.

“Terlalu sedikit, jika dibandingkan dengan standard sekarang, berlakunya konflik kaum. Pulau Pinang sentiasa menjadi tempat pelbagai bangsa dan agama dengan hubungan gembira antara masyarakat berbeza,” kata Anwar.

Kuasa penjajah yang menginstitusikan perkauman, katanya, memetik bagaimana Dr Wu Lien-The, pelajar perubatan pertama berketurunan Cina menyambung yang belajar di Universiti Cambridge tidak boleh berkhidmat sebagai doktor hanya kerana dia bukan bangsa Eropah.

“Orang tidak rasis. Dengan pelbagai perbezaan walaupun dalam kalangan keluarga sendiri, masyarakat dan kepercayaan, mereka membina rasa hormat dalam kepelbagaian,” kata Anwar yang juga pengerusi Jaringan Antara Agama Malaysia.

Bandar harmoni yang hebat

Anwar, 76, membesar dalam kepelbagaian itu, menetap di tingkat atas kedai kain bapanya di hujung Jalan Masjid Kapitan Keling dan Lebuh Chulia.

“Apa yang kita masih nampak hari ini, ia perkara biasa bagi kami, tetapi ia jarang berlaku di tempat lain di dunia ini. Sesuatu seperti ini akan terhapus selepas beberapa ketika.

“Anda masih dengar loceng gereja dan kuil, azan dari masjid, dan bau kayu colok dibakar di kuil. Anda lihat perarakan dan perayaan oleh masyarakat berbeza ketika festival.

“Makanan kami juga diadaptasi daripada hidangan satu sama lain untuk mencipta rasa unik Pulau Pinang, seperti laksa Pulau Pinang,” katanya.

Anwar berkata perbezaan yang kaya dan jarang berlaku ini banyak membantu George Town memperoleh pengiktirafan warisan dunia Unesco pada Julai 2008.

Bandar itu juga dikunjungi presiden India Dr APJ Abdul Kalam, yang melawat Jalan Harmoni pada Ogos tahun itu.

“Di Gereja St George, beliau membacakan puisi kedamaian Saint Francis of Assisi di mimbar. Di kuil Goddess of Mercy, beliau membakar colok dan membaca falsafah Cina.

“Pada penghujung lawatan itu, beliau berkata tidak pernah ada pengalaman seperti itu. Beliau kata kami ada sekolah kemanusiaan sebenar untuk dunia di Pulau Pinang, dan ia patut diraikan,” katanya.

Susulan lawatannya itu, Dr Kalam menulis satu puisi bertajuk “The Great City of Harmony”, sebagai penghormatan kepada George Town, di mana beliau memujinya sebagai pusat kerohanian bersepadu.

Raikan kepelbagaian dan kemanusiaan menentang ketaksuban

Anwar, aktivis terkemuka yang memenangi Anugerah Right Livelihood 1982 (popular digelar Anugerah Nobel alternatif) kerana menganjurkan dan melindungi kepentingan umum, berkata apabila masyarakat memperjuangkan sebab yang sama, mereka mencipta semangat kemanusiaan yang melangkaui perbezaan kaum, agama dan lain-lain.

“Di seluruh dunia dan setiap agama utama, ada ketaksuban dan perkauman; manipulasi oleh mereka yang ada niat politik, personaliti mahu menguasai dan rasa egomania.

“Sebagai umat Islam, perkara terbaik ialah mencontohi Nabi Muhammad yang mengajar nilai teras universal iaitu kedamaian, belas kasihan, keadilan dan melayan orang lain dengan baik,” katanya.

Komen Anwar itu berbeza dengan laporan baru-baru ini di mana sekumpulan Muslim mengugut untuk berdemonstrasi membantah Ketua Menteri Lim Guan Eng berbuka puasa dengan umat Islam lain sepanjang Ramadan.

Ketua PAS cawangan Jalan Mengkuang Azmil Jaafar berkata Lim tidak ada kena-mengenai hendak berbuka puasa dengan umat Islam, sedangkan beliau sendiri tidak puasa.

Dalam responsnya, Anwar menggena rakyat Malaysia kembali kepada semangat Rukunegara, deklarasi falsafah negara melalui perisytiharan diraja pada Hari Merdeka 1970, setahun selepas kejadian rusuhan kaum 13 Mei.

Bahagian pertama deklarasi itu menyentuh mengenai perpaduan dalam masyarakat, cara hidup demokrasi, masyarakat adil di mana kemakmuran dinikmati bersama, menjamin pendekatan liberal terhadap kekayaan Malaysia dan kepelbagaian budaya tradisi dan membina masyarakat progresif.

Bahagian kedua mengenai kepercayaan kepada Tuhan, taat setia kepada raja dan negara, menjunjung perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan mempunyai kesopanan dan kesusilaan.

“Ramai yang tidak baca dokumen lengkap. Mereka hanya ambil bahagian kedua.

“Tetapi lima yang terawal ialah mengenai meraikan kepelbagaian, harmoni, keadilan dan menjaga antara satu sama lain tidak boleh dilupakan,” katanya.

Anwar berkata semangat unik Pulau Pinang yang benar-benar meraikan kepelbagaian menjadi permata mahal, dan perlu dilindungi walau apa pun yang berlaku.

“Anda boleh alami sendiri rasa meraikan semangat dan kepelbagaian Pulau Pinang.

“Kita perlu sedar kehebatan yang kita ada, dan bukannya mengambil ringan perkara itu,” katanya. – 10 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen