Dr Mahathir, Daim gempur kawasan Najib


The Malaysian Insight

DR Mahathir Mohamad dan Daim Zainuddin berkongsi pentas buat kali pertama dalam tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) hari ini: bercakap kepada penduduk di Pekan, Pahang yang merupakan kawasan Najib Razak.

Pakatan Harapan menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri dan beliau bertanding di kerusi Parlimen Langkawi kali ini.

Daim yang diketahui ramai sebelum ini lebih gemar berkhidmat di belakang tabir membuat penampilan mengejutkan berkempen untuk gabungan pembangkang tahun ini.

Bekas menteri kewangan itu secara terbuka memberikan sokongan kepada calon PH seperti penyandang Menteri Besar Selangor Azmin Ali, calon PKR Lembah Pantai Fahmi Fadzil, calon Pendang Wan Saiful Wan Jan dan kini menyokong calon Pekan, Zahid Mat Arip.

Kemelut antara Daim dan Najib bermula apabila beliau mendakwa pentadbiran sekarang tidak melaksanakan dasar kewangan dan ekonomi yang boleh memberi manfaat kepada negara.

Daim juga dilaporkan berhasrat membantu kempen Dr Mahathir di Langkawi. Beliau pernah menerajui badan pembangunan daerah itu sebelum ini.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Rafidah Aziz juga secara terbuka menyatakan sokongan kepada PH dan bukan lagi BN pada PRU14.

Ketiga-tiga tokoh besar negara dan bekas menteri utama itu dijadual membuat penampilan bersejarah di Melaka Jumaat ini. – 3 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen