Daim tidak lagi diam


The Malaysian Insight

LEBIH kurang setahun sebelum Parlimen bubar pada 2013, Daim Zainuddin yang jarang membuat komen kepada media dan jarang pula muncul dalam majlis umum setuju untuk bercakap kepada penyokong dan jentera Barisan Nasional (BN) di Lembah Pantai.

Majlis itu diberi nama “Tun Daim bersama BN Lembah Pantai”.

Antara isu yang hangat ketika itu ialah kontroversi melibatkan dana RM250 juta untuk projek Pusat Fidlot Nasional. Dana itu diberikan kepada syarikat yang ada kaitan dengan keluarga bekas menteri, Shahrizat Abdul Jalil yang pada pilihan raya 2008 kalah bertanding kerusi Parlimen Lembah Pantai.

Lebih kurang setahun sebelum Parlimen bubar pada 2013, dalam majlis diberi nama “Tun Daim bersama BN Lembah Pantai” di sebuah hotel di pinggir Kuala Lumpur, bekas menteri kewangan yang diam itu, dengan nada suaranya yang lembut tetapi tegas, keras mengkritik Shahrizat.

Katanya, Shahrizat tidak boleh lagi bertanding semula di Lembah Pantai kerana sebelum itu beliau kalah. Shahrizat kalah kepada Nurul Izzah Anwar pada 2008 – pilihan raya yang menumbangkan beberapa lagi menteri dan menafikan BN majoriti dua pertiga sejak 1969.

“Sekarang ada ketua bahagian, seorang menteri, kalau tidak pilih dia, nak pilih siapa lagi,” kata Daim, merujuk kepada Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang duduk bersamanya di pentas pada majlis malam itu.

Dewan bergemuruh dengan tepuk sorak. Rata-rata yang hadir pada malam itu penyokong Raja Nong Chik. Kenyataan Daim yang selalu diam pada malam itu sokongan yang kuat kepada pemimpin mereka untuk jadi calon pilihan raya.

Parlimen kemudiannya bubar. Raja Nong Chik diumumkan sebagai calon bertanding kerusi Parlimen Lembah Pantai. Daim pula ikut turun padang berkempen untuk memenangkan beliau.

Lima tahun kemudian, Daim kembali bersuara – menjelang sekali lagi pilihan raya.

Lima tahun kemudian, Daim sekali lagi turun berkempen di Lembah Pantai.

Tetapi lima tahun kemudian, Daim kini menyatakan sokongan kepada calon yang bertanding melawan Raja Nong Chik.

Malam tadi, Daim datang ke Kampung Kerinchi untuk berkempen bagi Fahmi Fadzil, calon Pakatan Harapan (PH) yang diberi kepercayaan menyambung khidmat Nurul Izzah di Lembah Pantai.

“Tuan-tuan tahu tak nak sokong siapa?” kata Daim, membuka mulutnya sebaik saja dijemput untuk berucap.

“Tahuuuuu!” sahut sebahagian lebih kurang 150 hadirin yang datang ke lapangan di tengah-tengah tiga blok rumah pangsa projek perumahan rakyat di Kampung Kerinchi itu.

“Kalau tahu baguslah,” jawab Daim sebelum menambah, “nama saya Daim, patutnya saya diam saja.”

Daim bercakap tidak lama, ringkas saja lebih kurang 20 minit.

Tetapi setiap perkara yang disentuhnya adalah denyut nadi rakyat – tentang tekanan ekonomi semasa khasnya cukai barangan dan perkhidmatan (GST). Tentang 1MDB, beliau menyebutnya sepintas lalu kerana katanya perkara itu “tuan-tuan sendiri pun sudah tahu”.

Beliau meminta rakyat memberi peluang kepada Pakatan Harapan, sekurang-kurangnya satu penggal untuk menguruskan negara.

“Kita mahu kerajaan yang utamakan rakyat.

“Bagi peluang lima tahun cukup. Kita bersihkan negara ini. Kita akan pulihkan ekonomi, selamatkan negara,” katanya.

Lembah Pantai malam tadi adalah yang kawasan Parlimen yang keempat Daim turun berkempen selepas Langkawi, Pendang dan Kubang Pasu.

Hari ini beliau di Pekan bersama Dr Mahathir Mohamad. Jumaat ini beliau akan muncul di Melaka, sekali lagi bersama Dr Mahathir dan akan turut disertai Rafidah Aziz, bekas ketua wanita Umno.

Baki enam hari tempoh berkempen ini jadualnya sudah dan sedang diisi untuk singgah lagi di beberapa lagi kawasan parlimen antaranya di Kedah, Melaka, Pulau Pinang dan Selangor.

Kepada wartawan di Lembah Pantai malam tadi, Daim menjelaskan kenapa beliau ikut turun berkempen untuk memenangkan PH. Selain cara ekonomi negara diuruskan, beliau nampak ada yang tidak kena dengan beberapa tindakan kerajaan, dalam urusan persempadanan semula dan pengenalan undang-undang mengawal “berita palsu”.

Atas hal-hal itu, Daim yang diam tidak diam lagi.

Tetapi apakah tidak diamnya Daim ini akan memenangkan PH?

Ada tiga perkara yang akan menentukan kempen PH berjaya, kata Daim. Pertama, calon berintegriti yang rakyat boleh percaya. Kedua, sokongan pengundi di luar bandar terutamanya di kawasan Felda. Ketiga, sokongan pengundi muda tidak lebih 40 tahun yang membentuk 40% daripada jumlah keseluruhan pengundi.

Tetapi ada satu lagi perkara yang beliau sebut – kepercayaan.

“Saya sudah beritahu kerajaan, lebih senang untuk bercakap benar dan rakyat akan percaya.”

Bagi Daim, ada yang tidak betul dan perlu dibetulkan dan kerana itu beliau tidak berdiam lagi. – 3 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen