Rakyat Pulau Pinang lebih minat tentang nasib Putrajaya


The Malaysian Insight

SELEPAS lima hari berkempen, Pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata pengundi di negeri itu tidak berminat dengan nasib kerajaan negeri.

Sebaliknya, mereka lebih berminat dengan apa bakal berlaku di Putrajaya berbanding Pulau Pinang yang ditadbir pembangkang sejak 2008, kata exco sementara kerajaan negeri itu.

“Saya berkempen di Tanjung sejak lima hari lalu. Respons yang diterima oleh Pakatan Harapan (PH) daripada rakyat masih sehangat pada PRU 2013.

“Tetapi rakyat tidak berminat dengan keputusan PRU di negeri, warga emas tidak berbincang tentang negeri.

“Mereka lebih berminat hendak tahu apa berlaku di Putrajaya,” katanya pada program ceramah mega PH di Sekolah Han Chiang yang dihadiri kira-kira 10,000 orang.

“Saya mungkin saya tetapi ini mungkin bermakna pengundi fikir kerajaan PH Pulau Pinang akan terus kekal.

“Jadi soalannya sekarang ialah sama ada kita akan berjaya kali ini untuk menewaskan (perdana menteri sementara) Najib Razak dan Barisan Nasional pada 9 Mei,” katanya yang beranding di Parlimen Tanjung dan DUN Padang Kota.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution yang bertanding di DUN Pantai Jerejak, Pulau Pinang berkata PRU14 ialah bertarungan antara rakyat dan BN, dan peluang terbaik Malaysia untuk mengubah kerajaan persekutuan.

“Ini bukan tentang pemimpin PH Dr Mahathir Mohamad, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Anwar Ibrahim, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Mat Sabu melawan Najib.

“Pertandingan ini antara Melayu, Cina, India – rakyat Malaysia dengan BN. Ini peluang terbaik kita, jadi jangan lepaskan. Kalau tidak kita perlu tunggu lima tahun lagi. Apa pun boleh berlaku.

“Jangan hilang MyKad anda (pada hari mengundi),” katanya.

Penceramah lain pada malam tadi ialah calon PH Zairil Khir Johari (Tanjung Bungah), Lim Siew Khim (Sungai Pinang), Jagdeep Singh Deo (Datuk Keramat), R.S.N. Rayer (Jelutong), pemangku ketua menteri Lim Guan Eng (Bagan dan Air Putih) serta Lim Kit Siang (Iskandar Puteri). – 3 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen