Mana pekerjaan yang dijanjikan, soal rakyat Pahang pada BN


The Malaysian Insight

PENDUDUK tempatan di Kuantan berang dengan kekurangan peluang pekerjaan yang dijanjikan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam pelaburan China di Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP).

Perdana menteri sementara Najib Razak ketika pelancaran MCKIP pada 2013 berjanji 8,500 pekerjaan bakal tercipta dan akan wujud pertumbuhan ekonomi di kawasan itu.

Penduduk setuju pekerjaan terwujud sejak itu tetapi ia bukan untuk warga tempatan di mana mereka mendakwa diketepikan.

“Isteri saya pergi temu duga di Alliance Steel tetapi tidak dihubungi semula atau dimaklumkan tidak diterima. Sudah dua bulan berlalu.

“Kawan-kawan saya juga pergi temu duga tetapi lepas itu tidak ada khabar berita. Staf di situ 90% warga China,” kata pegawai bank, Shahrim Abdul Kahar, 47.

Katanya, di Kuantan syarikat China hanya mahu melabur di sini kerana kos lebih murah.

“Duit kita pergi ke China. Tidak ada apa-apa di sini. Kebanyakan kami tidak dapat kerja. Perniagaan tidak berkembang. China menggunakan tanah kami, air dan meminimumkan kos untuk kepentingan mereka saja,” kata Shahrim.

Pesara guru, Yong Sau Peng mendakwa jika masalah itu berterusan di Kuantan dan China akan “menjajah” Malaysia secara ekonomi.

“Mereka ada ramai di sini, Cina dari China. Mereka tidak buat pekerjaan untuk kami, mereka guna sumber murah. China mengeksploitasi kita,” katanya.

Sementara China semakin kaya, penduduk tempatan di Kuantan terseksa tanpa kerja dan terpaksa berpindah keluar, kata kontraktor S Sathyvelnaidu.

“Limpahan itu tidak dapat kepada kami. Perkara paling pelik ialah kerajaan bersetuju untuk China membawa masuk pekerja dan peralatan mereka sendiri dari China. Itu saja sudah menjejaskan ekonomi,” katanya.

Kilang Alliance Steel di Gembeng sepatutnya membuka 3,500 ruang pekerjaan selepas siap, menurut duta khas perdana menteri ke China, Ong Ka Ting pada Mac 2017.

Portal berita Malaysiakini melaporkan kilang itu masih tidak beroperasi pada Oktober 2017.

Calon perdana menteri Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamed pada ceramah semalam di depan kira-kira 8,000 rakyat Pahang berjanji akan memulangkan peluang pekerjaan dan kontrak perniagaan kepada penduduk tempatan. – 3 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen