RAKYAT Kuantan percaya kepada isu dibangkitkan Pakatan Harapan terutama sekali selepas ia disokong Dr Mahathir Mohamad.
Mereka yang ditemui bersetuju yang bekas perdana menteri 22 tahun Malaysa itu menambah wibawa kepada dakwaan pembangkang melibatkan isu kenaikan kos sara hidup, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pelaburan meragukan Tabung Haji.
Dr Mahathir malam tadi di ceramahnya di Kuantan sekali lagi berikrar untuk menghapuskan GST sebaik sahaja Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya.
Ikrarnya itu disambut sorakan gempita lebih 8,000 orang yang hadir ke pentas sementara di atas sebuah lori untuk mendengarnya bercakap.
Beberapa penduduk termasuklah Rahim Pandak, 35 tahun mengatakan beliau yakin yang Barisan Nasional (BN) tidak lagi sama seperti dahulu.
“Malah (Dr) Mahathir pun tinggalkan BN, mereka tak buat kerja dengan baik. Rakyat marah dengan mereka dan keadaan negara sekarang yang disebabkan mereka,” katanya kepada Malaysia Decides selepas ceramah itu.
Usahawan Abdul Nuqman Abdul Mubin yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) pula berkata GST menjejaskan perniagaannya dan dia menyokong ikrar Dr Mahathir yang mahu menghapuskannya.
“Negara dalam keadaan baik sebelum GST tetapi sekarang teruk. Najib tak peduli tentang rakyat. Dia korup,” katanya.
Nuqman yang kehilangan kaki kirinya kerana kemalangan juga berkata walaupun Dr Mahathir juga banyak kesilapan tetapi kesediaannya mempertahankan negara walaupun sudah berusia 93 tahun perlu dibanggakan.
“Dia sayangkan negara. Sebab itu dia berjuang demi negara sampai sekarang. Dia beri kita semangat untuk lawan balik walaupun kita tahu di sini kubu kuat BN,” tambahnya.
Seorang jurutera minyak dan gas, Rahunathan Raju pula berkata yang BN sudah terlalu lama berkuasa dan jika Dr Mahathir boleh buat berubah, negara juga tentu boleh berubah.
“Rakyat yang merasakan terbeban dengan kos sara hidup dan GST, kita perlu ubah kerajaan. Mereka dah berkuasa 60 tahun, ia bukan tempoh yang singkat,” katanya dan menambah rakyat perlu memaafkan kesilapan Dr Mahathir dan menyokongnya.
GST diperkenalkan Putrajaya pada 1 April 2015 walaupun menerima bantahan pelbagai kelompok masyarakat.
Dr Mahathir bertukar arah menjadi pengkritik paling lantang kerajaan BN pimpinan Najib disebabkan pelbagai isu salah tadbir 1MDB dan dana awam lain. – 3 Mei, 2018.
Komen