SIAPA yang akan menang pilihan raya umum? Bekas Menteri Kewangan Daim Zainuddin mengatakan sesiapa yang mampu menarik undi peneroka Felda dan belia akan menang.
“Tetapi pertama sekali anda perlu ada calon yang bagus dengan integriti dan tidak korup dan itulah asasnya, barulah rakyat akan percaya,” kata Daim.
Katanya, perkara kedua adalah memenangi sokongan penduduk luar bandar terutama sekali pengundi Felda. Felda merupakan kelompok pengundi simpanan tetap Barisan Nasional sejak berdekad lamanya.
Ketiga, adalah mendapatkan undi belia.
“40% pengundi berusia antara 20 hingga 40 tahun dan sesiapa yang mendapatnya akan menang,” katanya selepas hadir di ceramah Pakatan Harapan (PH) di Kerinchi, Kuala Lumpur semalam.
Ini adalah kali kedua Daim secara terbuka memberi sokongan kepada PH. Beberapa hari lepas, beliau berada di Kedah untuk berceramah.
Semalam, Daim memberitahu sekitar 300 orang yang hadir untuk menyingkirkan Najib Razak dan BN jika mereka mahu tahu apa sebenarnya yang berlaku kepada hasil kutipan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
“Singkirkan mereka kemudian barulah kita dapat tahu apa yang berlaku kepada GST. Mereka kutip RM40 bilion tetapi hanya RM7 bilion dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk BR1M. Mana yang selebihnya? Jika anda mahu tahu apa yang berlaku kepada wang itu, singkirkan mereka,” kata Daim.
Beliau juga meminta rakyat memberikan mandat memerintah kepada PH untuk membangunkan ekonomi dan membersihkan kerajaan.
“Hanya lima tahun dan jika gagal, anda boleh singkir (PH).” – 3 Mei, 2018.
Komen