UNDI PAS bermaksud undi Barisan Nasional, kata calon perdana menteri Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad malam tadi.
Bekas perdana menteri itu melabelkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebagai “munafik” kerana berhubungan rapat dengan Najib Razak dan Umno.
“PAS adalah parti yang tiada hala tuju. Mereka lawan bukan untuk menang tetapi untuk kalah.
“Hadi tak lagi kata Umno kafir. Dia dah lama tak tuduh Umno kafir. Dia sekarang mahu bekerja dengan Umno. Dia munafik. Dia tipu,” kata Dr Mahathir kepada khalayak hampir 8,000 orang di ceramah Jelajah Pakatan Harapan malam tadi.
Pengerusi Bersatu itu juga menambah yang PAS tidak berhasrat mahu menang pilihan raya tetapi mahu memecahbelahkan pembangkang sekaligus memberi manfaat kepada Najib.
“Mereka tak mahu menang tapi mereka mahu kalah. Matlamat mereka adalah untuk menarik orang yang anti Najib kepada mereka dan bukannya PH. Mereka sebenarnya sokong Najib.”
Dr Mahathir memberi amaran kepada hadirin untuk mengikuti Islam berbanding pemimpin agama seperti Hadi yang didakwanya sudah tersasar daripada jalan kebenaran.
“Ramai orang Islam ikut pemimpin dan bukannya agama. Orang macam Hadi adalah sebab kenapa orang Islam di Timur Tengah membunuh orang Islam lain.
“Hadi bekerja bersama dengan Umno. PAS adalah sebahagian daripada Umno. Jangan undi bulan. Bendera PAS dah tak sama macam dulu,” katanya.
Ceramah di Kuantan, Pahang malam tadi dihadiri lebih 8,000 orang yang datang untuk melihat kemunculan berkempen pertama Dr Mahathir di negeri itu.
Antara penceramah yang turut hadir termasuklah calon Timbalan Perdana Menteri PH Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Presiden Amanah Mohammad Sabu dan calon PH Indera Mahkota Saifuddin Abdullah. – 3 Mei, 2018.
Komen