TERLALU banyak perkara berlaku sehingga menyebabkan bekas Menteri Kewangan Daim Zainuddin secara terbuka memberikan sokongan kepada gabungan pembangkang, Pakatan Harapan pada pilihan raya kali ini.
Antaranya termasuklah penggubalan undang-undang anti berita palsu sehinggalah kepada persempadanan semula bahagian pilihan raya.
Tetapi, isu paling utama yang menyebabkan beliau bertindak menyokong PH adalah kegagalan kerajaan menangani isu yang memberi kesan terus kepada rakyat.
“Rakyat sangat tak gembira dengan banyak perkara dan mereka gagal tangani itu.
“Saya dah beritahu kerajaan dan saya kata hati-hati tetapi mereka sangat yakin yang rakyat akan sokong mereka,” kata Daim berkaitan perkara yang beliau nasihatkan BN.
Katanya, kerajaan gagal menangani isu itu kerana mereka tak faham isu dan gagal memberitahu kebenaran.
“Lebih mudah untuk beritahu rakyat perkara benar dan rakyat boleh percayakan anda. Sebaik sahaja anda gagal beritahu perkara sebenar, isu seperti inflasi, kos sara hidup, 1MDB adalah perkara besar.
“(Tentang) perumahan mampu milik, anda kata PR1MA mahu bina 1 juta rumah tetapi anda hanya bina 20,000 dan kemudian anda kata anda mahu buat bank perumahan. Tetapi masalahnya bukan bank, masalahnya rakyat tak mampu.
“Mengapa mereka tak mampu? Mereka tak mampu kerana gaji. Ia tak naik, kos sara hidup naik. Mereka tak faham isu sebenar.”
Beliau menambah yang undang-undang anti berita palsu dan persempadanan semula juga membuatkan rakyat marah.
“Ia tak perlu. Kita dah ada cukup masalah. Kenapa buat lagi masalah untuk buat rakyat marah.”
Katanya, beliau juga memberitahu kerajaan supaya memberitahu perkara yang benar tentang 1MDB.
“Saya beritahu mereka perkara sebenar, rakyat Malaysia boleh terima kalau anda beritahu perkara benar. Tetapi anda nafi dan guna undang-undang untuk manipulasi perkara kemudian mereka (rakyat) kata eh ada yang tak kena ni. Dan mereka tak percayakan anda lagi. Itu sahaja. Kebenaran sangat penting.”
Daim berada di Lembah Pantai semalam untuk membantu calon PH Fahmi Fadzil semalam.
Fahmi yang mengambil alih kerusi itu daripada Nurul Izzah Anwar berdepan Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (BN) dan Fauzi Abu Bakar. – 3 Mei, 2018.
Komen