BARISAN Nasional (BN) memperhebat pengiklanan dalam talian menerusi saluran seperti YouTube dengan penghebahan janji-janji parti pemerintah sekiranya ia terus berkuasa.
Klip video pendek ini muncul sebelum tayangan video music, blog, promosi filem malah muncul juga di blog.
Bagi video berbahasa Cina, iklan parti komponen BN, MCA memaparkan serangan ke atas musuhnya, DAP kerana bersengkokol dengan bekas bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Bagaimanapun, setakat ini, kebanyakan iklan BN adalah daripada saluran YouTube Najib Razak yang menyaksikan ratusan video dimuat naik sejak hari penamaan calon Sabtu lepas. Saluran YouTubenya mempunyai hampir 31,000 pengikut.
Setiap video berdurasi purata dua minit dan setiap satunya memfokuskan kepada isu pilihan raya yang khusus.
Misalnya, salah satu memaparkan peningkatan pemberian BR1M. Iklan lain pula mensasarkan penduduk luar bandar, belia, pelajar universiti awam, wanita dan kelas pekerja.
Salah satu video pula bercerita tentang situasi ekonomi Malaysia yang baik kerana rakyat Malaysia mampu melancong ke luar negara, alasan yang sering digunakan menteri Malaysia sebelum ini.
Iklah Najib juga memaparkan komitmen BN untuk terus mempertahankan hak Islam dan Bumiputera, rakyat Sabah dan peneroka Felda.
Salah satu video menyerang Dr Mahathir, menunjukkan Najib menggelarkan pengerusi Pakatan Harapan itu sebagai “pelakon” kerana membuat “u-turn” dan menyokong pembangkang yang terdiri daripada bekas musuhnya, Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, video pilihan raya itu hanya mempunyai mencecah ratusan sehingga ribuan tontonan sahaja.
“Kejayaan mana-mana iklan bergantung kepada kadar tukaran,” kata David Ong-Yeoh daripada WestCoast Public Relations.
“Adakah iklan itu menyebabkan jualan, atau mengubah pandangan atau menyebabkan (orang) membeli? Kita tak dapat lihat daripada iklan ini sama ada ia menyebabkan perubahan pandangan.”
Iklan BN di YouTube selalunya lebih panjang daripada yang disiarkan menerusi televisyen, dan kualiti penerbitan yang lebih rendah seperti penggunaan pencahayaan, peralatan yang lebih murah berbanding iklan di televisyen.
Ong-Yeoh berkata iklan YouTube kini adalah perkara biasa: “Jika YouTube dipilih sebagai saluran, dan sasaran penonton wujud, maka ia cara yang tepat. Tetapi seperti yang saya kata, masih terlalu awal untuk tahu sama ada ia berjaya.”
Tambahnya, penentuan khalayak untuk iklan sebegitu tidak diperlukan buat ketika ini: “Mereka hanya memenuhi slot.”
Pemeriksaan dengan Google Adwords Malaysia mendedahkan yang pengiklan perlu membayar RM0.10 sehingga RM0.15 untuk setiap iklan yang ditonton. AdWords tidak mengenakan bayaran untuk meletakkan iklah dan pengiklan hanya membayar apabila ada yang menonton iklan itu, bergantung juga kepada jumlah tontonan video di YouTube atau menghubungi pengiklan.
“Bajet tidak terbatas. Ia bergantung kepada berapa banyak anda mahu meletakkan deposit setiap hari,” kata seorang pakar AdWords yang enggan dinamakan. “Jadi jika anda letak RM100, anda sasarkan tontonan sekitar 667 kali, selagi mana iklan berjalan atau selagi mana ada orang tengok.” – 3 Mei, 2018.
Komen