MCA, Gerakan guna pemimpin lama raih undi


The Malaysian Insight

DI Bentong, bekas menteri Lim Ah Lek turun padang.

Tidak, veteran MCA yang berkhidmat sebagai ahli Parlimen kawasan itu daripada 1989 hingga 1999 tidak kembali bertanding.

Beliau di situ untuk menyatakan sokongan kepada anak didiknya, Presiden MCA Liow Tiong Lai yang kini berdepan pertandingan getir mempertahankan kerusi yang dipegang parti itu sejak 1958.

Lim bukanlah satu-satunya veteran yang diminta keluar daripada persaraan politik dan berkempen untuk calon PRU14. Gerakan juga disertai bekas Ketua Menteri Koh Tsu Koon dalam kempen pilihan rayanya.

Dua pengulas politik yang ditemui Malaysia Decides mengatakan strategi itu bertujuan meraih undi pengundi tua yang mempunyai nostalgia dengan pemimpin MCA dan Gerakan dan memujuk mereka supaya mengundi kedua parti itu kali ini.

Tetapi, pengulas politik Phoon Wing Keong berkata tindakan menghantar veteran parti ke kempen pilihan raya tidaklah begitu berkesan.

Kerana, satu-satunya kepastian kehadiran mereka adalah parti terlibat sudah ketandusan pemimpin berkarisma.

“Ia tak bagus untuk kepimpinan MCA. Daripada strategi pilihan raya, menamakan calon, menguruskan jentera pilihan raya, mereka terpaksa bergantung kepada pemimpin tua,” kata Phoon.

Difahamkan yang panggilan kecemasan untuk Lim Ah Lek membantu penyandang Bentong, Liow di lapangan baru sahaja dikeluarkan. Kempen video Liow turut memaparkan beliau dan Ah Lek melawat petani di Bentong dan sumbangan parti kepada kawasan itu.

Pada PRU13, Liow menewaskan calon DAP tetapi tiga daripada empat kerusi negeri dalam kawasan Parlimen itu dipegang DAP.

Difahamkan yang kepimpinan MCA juga menjemput bekas Timbalan Presiden Chan Kong Choy, bekas Naib Presiden Wong See Wah, bekas Bendahari MCA Lau Yin Pin untuk membantu jentera pilihan raya parti.

Pada hari penamaan calon Sabtu lepas, MCA Negeri Sembilan meletakkan beberapa pemimpin veteran parti untuk memberi ucapan pada majlis menandakan bermulanya kempen pilihan raya.

Di Pulau Pinang, bekas Presiden Gerakan dan Ketua Menteri Pulau Pinang Dr Koh Tsu Koon kembali ke baris hadapan, membantu Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Teng Chang Yeow meraih undi dengan menyertai kempen.

Tetapi, seorang lagi pengulas politik Tang Ah Chai berkata bekas pemimpin itu hanyalah mewakili parti yang sudah ditolak rakyat sejak dua pilihan raya lepas.

“Koh adalah ketua menteri Pulau Pinang selama 18 tahun, tetapi di akhirnya BN masih kalah di negeri itu.”

Phoon berkata persoalan sama ada veteran parti masih boleh meraih undi Cina masih dipersoalkan.

“Jika pemimpin itu meninggalkan arena politik kerana diundi keluar, apa tarikannya?” katanya. – 3 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen