GELOMBANG yang dibawa oleh anak mursyidul am PAS yang paling popular, Nik Mohamad Omar Nik Abdul Aziz kini melimpah di Kelantan dan boleh dieksport ke peringkat nasional, kata pemimpin Pakatan Harapan (PH) negeri.
Pengerusi Amanah Kelantan Wan Abdul Rahim Abdullah berkata, Nik Omar akan menyertai majlis pertamanya di peringkat nasional iaitu di Putrajaya.
Nik Omar akan memberikan ceramah pertamanya di luar Kelantan iaitu di Putrajaya esok, 3 Mei bersama pengerusi PH, Dr Mahathir Mohamad dan calon PH Putrajaya Dr Samsul Adabi Mamat.
“Ada dua tujuan kita bawa Nik Omar ke Putarajaya. Pertama, selepas kita berjaya mencipta gelombang di Kelantan, kita mahu ia juga dirasai di peringkat pusat.
“Yang kedua, kita mahu tonjolkan beliau sebagai tokoh kita di peringkat nasional,” kata Wan Rahim kepada Malaysia Decides.
Menurut Wan Rahim, jika penerimaan orang Putrajaya baik, Nik Omar juga akan dibawa ke lain-lain tempat di seluruh negara.
Selain menyeru pengundi Putrajaya mengundi PH, Nik Omar juga dijangka akan menyeru pengundi luar Kelantan agar pulang mengundi 9 Mei ini.
“Kita akan minta beliau menyeru pengundi kita di luar Kelantan agar pulang mengundi,” kata bekas veteran operasi pilihan raya PAS itu.
Menurut Wan Rahim, Nik Omar telah berjaya mencipta gelombang di Kelantan sehingga para pemimpin PAS membuat komen yang bukan-bukan selepas beliau menjadi calon PH.
“Hatta presiden PAS sendiri membuat komen yang tidak wajar dan kasar sehingga terpaksa ditegur oleh timbalannya sendiri, Tuan Ibrahim Tuan Man,” kata Wan Rahim.
Presiden Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan memetik kisah Nabi Nuh yang anaknya sendiri tidak memilih jalan Islam, sebagai mengulas tindakan anak-anak pemimpin PAS yang tidak lagi bersama perjuangan parti Islam itu.
Selain Nik Omar, dua lagi anak bekas pemimpin kanan PAS kini bersama Amanah iaitu Dr Mujahid Yusof Rawa (anak bekas Mursyidul Am PAS yang pertama) dan Mohd Faiz Fadzil (anak bekas Presiden PAS, Fadzil Noor).
Sebaik saja anak lelaki sulung Allahyarham Nik Aziz itu diumumkan sebagai calon PH di Dewan Undangan Negeri Cempaka, Setiausaha Agung PAS, Takiyudin Hassan mengumumkan pemecatan beliau dari PAS.
Adik beliau, yang juga calon PAS di Bachok, Nik Mohamad Abduh juga membuat komen yang kasar terhadap Nik Omar walaupun Nik Omar sendiri mendoakan kejayaan Nik Abduh di Bachok. – 3 Mei, 2018.
Komen