Tindakan bodoh siasat Dr Mahathir kerana berita palsu, kata Daim kepada polis


The Malaysian Insight

BAGAIMANA rungutan Dr Mahathir Mohamad mengenai kapal terbang yang sepatutnya menerbangkan beliau ke langkawi boleh dikatakan sebagai berita palsu soal Daim Zainuddin.

Bekas menteri kewangan itu berkata tayar kapal terbang tersebut mengalami masalah dan bekas perdana menteri itu hanya membangkitkan mengenai perkara tersebut.

“Saya rasa ia bodoh. Bagaimana kamu boleh kata ia berita palsu sedangkan tayarnya ada masalah? Semua orang tahu. Jika ada masalah dengan tayar, ia amat berbahaya,” katanya kepada pemberita selepas hadir acara ceramah di perumahan kos rendah di Kerinchi, Kuala Lumpur, malam ini.

Sukar untuk Daim mempercayai yang polis menyiasat Dr Mahathir mengenai perkara itu.

“Saya tak tahu apa yang palsu di sini. Kapal terbang bukan seperti basikal atau kereta. Selepas kamu di udara, nyawa kamu ditangan pilot,” katanya.

Polis sedang menyiasat Dr Mahathir di bawah Akta Antiberita Tidak Benar 2018 kerana kenyataannya mendakwa pesawatnya disabotaj, kata polis hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim berkata, satu laporan dibuat terhadap pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu tetapi enggan menamakan pengadu.

“Penyiasatan ini berkaitan dengan kenyataan Dr Mahathir yang mendakwa pesawatnya disabotaj. Kami menerima laporan dan sedang menyiasatnya,” kata Mazlan.

Dr Mahathir mendakwa pada Jumaat pesawat yang sepatutnya dinaiki ke Langkawi disabotaj.

Beliau mendakwa sebelum berlepas, juruterbang mengumumkan pesawat itu rosak dan  ia tidak dapat dibaiki segera.

Awal minggu ini, seorang warga Denmark menjadi orang pertama dihukum di bawah Akta Antiberita Tidak Benar yang baru digubal, melalui video YouTube yang dimuat naik mengenai penembakan disyaki anggota Hamas di Kuala Lumpur.

Salah Salem Saleh Sulaiman, 46, mengaku bersalah menerbitkan berita palsu dalam bentuk video di YouTube yang mendakwa beliau bersama mangsa, seorang warga Palestin semasa kejadian tembakan dan membuat panggilan berulang kali kepada polis yang tiba di tempat kejadian 50 minit kemudian manakala ambulans datang sejam selepas itu.

Salah Salem dijatuhi hukuman penjara seminggu dan RM10,000. – 2 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen