Mahkamah Perancis hukum penjara suspek tragedi lori pendatang Vietnam


Dunia dikejutkan dengan penemuan 39 mayat pendatang asing dalam lori kontena Grays, Essex, Britain, pada 2019. – Gambar EPA, 11 November, 2023.

MAHKAMAH Perancis pada Jumaat menjatuhkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dalam perbicaraan penyeludupan manusia berhubung kematian 39 pendatang Vietnam dalam kontena sejuk beku ketika dalam perjalanan ke Britain.

Mayat pendatang yang mati akibat sesak nafas—dua daripadanya baru berusia 15 tahun—ditemui di dalam unit tertutup di sebuah pelabuhan dekat London pada Oktober 2019.

Mereka menaiki lori dari utara Perancis ke Belgium sebelum menyeberangi Selat ke Britain.

Dua ketua operasi itu—seorang warga Romania dan seorang Britain—disabitkan kesalahan ketika perbicaraan pada 2021 di Britain dan masing-masing dijatuhi hukuman penjara 27 dan 20 tahun.

Suspek lain, terutamanya pemandu, menerima 12 hingga 20 tahun hukuman penjaran, manakala mahkamah Belgium menjatuhkan hukuman 15 tahun kepada seorang lelaki Vietnam kerana mengetuai sel tempatan rangkaian itu.

Daripada 19 defendan dalam perbicaraan di Perancis—termasuk warga Vietnam, Perancis, Cina, Algeria dan Maghribi—18 didapati bersalah.

Empat daripada mereka, kesemuanya warga Vietnam, didapati bersalah atas kesalahan membunuh tanpa sengaja dan dijatuhkan hukuman penjara sembilan atau 10 tahun.

Empat lagi warga Vietnam, dua daripadanya tidak hadir dan dianggap sebagai penjenayah dalam buruan, dijatuhi hukuman antara satu hingga 10 tahun kerana peranan mereka dalam membawa dan menempatkan pendatang.

Yang lain, pemandu atau pemilik pangsapuri terbabit dengan kumpulan itu, dijatuhkan hukuman penjara.

Seorang defendan, yang juga pemandu, dibebaskan daripada semua pertuduhan.

Menurut pintasan telefon, kumpulan itu merujuk pendatang sebagai “barangan” atau “ayam”.

Selepas tragedi itu, akaun mengerikan muncul daripada mangsa, yang merakam mesej kepada keluarga mereka dari dalam lori yang dikunci.

Dalam satu mesej, Pham Thi Tra My yang berusia 26 tahun menulis kepada ibu bapanya: “Ibu, ayah, saya sangat sayangkan kamu. Saya hampir mati, saya tidak boleh bernafas lagi.”

Seorang lelaki lain meninggalkan rakaman, berkata: “Saya mahu kembali kepada keluarga saya. Semoga hidup yang baik.”

Beberapa defendan mendakwa mereka ditekan untuk bekerja dengan kumpulan itu, tetapi mahkamah berkata mereka didorong oleh habuan wang. – AFP, 11 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen