PEGUAM terkenal Pulau Pinang Baljit Singh, yang akan bertanding di kerusi Parlimen yang disandang DAP-Jelutong, sebagai calon Barisan Nasional (BN), menyifatkan dirinya sebagai seorang yang jujur dan ikhlas bekerja untuk rakyat jika dipilih pada 9 Mei nanti.
Dibawa menyertai politik oleh Dr Koh Tsu Koon, beliau berkata banyak yang dipelajarinya daripada bekas ketua menteri Pulau Pinang dan presiden Gerakan itu.
Katanya, Koh mengingatkan beliau bahawa politik bukanlah medan untuk mengumpul harta, dan seorang wakil rakyat yang dipilih harus bekerja keras dan kurang bermain politik.
“Katanya sama ada orang menghargai apa yang kita lakukan, itu tidak penting kerana rakyat akhirnya akan menghargainya. Saya rasa apa yang dikatakan itu benar kerana selepas 10 tahun, rakyat membandingkan pentadbiran dulu dan sekarang dan menyedari pentadbiran dulu tidaklah seteruk mana,” katanya.
Baljit berkata jika beliau dipilih sebagai ahli Parlimen, beliau akan mendesak agar undang-undang yang ketinggalan zaman diubah, seperti Akta Undang-undang Sivil 1956, penukaran agama anak sebelah pihak dan hukuman bagi pesalah ragut, yang menurutnya layak menerima hukuman rotan kerana menyakiti dan tidak memikirkan nyawa mangsa.
“Saya mahu mendesak supaya tatatertib lebih ditekankan di Dewan Rakyat. Amat menyedihkan apabila ada individu yang menggunakan Dewan Rakyat untuk tujuan politik dan gimik, daripada menggunakan peluang yang ada untuk proses pengubalan undang-undang,” katanya.
Selain hal berkaitan undang-undang, hala tuju politik Baljit turut dipacu oleh aspek kebajikan. Beliau melihat peningkatan kos sara hidup, dan perumahan kos rendah dan sederhana sebagai isu penting yang akan dibawa ke Dewan Rakyat.
Beliau turut melahirkan kebimbangan mengenai muhibah antara kaum di Malaysia, yang menurutnya dalam keadaan tenat, kerana terdapat “hero jadi-jadian” yang menjuarai isu satu-satu kaum, sehingga mewujudkan perpecahan.
“Interaksi sosial amat buruk. Rakyat makin sensitif dan ada antara mereka yang tidak beradab. Kita telah lupa apa yang membentuk kita sebagai sebuah negara, tentang Rukunegara,” katanya.
Dilahirkan dalam keluarga miskin di Gelugor, Jelutong, Baljit dibesarkan dengan mengenal erti jerih payah kelas pekerja. Oleh kerana ini, beliau memahami sentimen penduduk Jelutong, yang kebanyakannya terdiri daripada mereka yang berpendapat rendah dan sederhana.
“Kami hidup miskin. Ayah saya bekerja sebegai pembantu kedai. Semasa saya kecil, saya bekerja di kedai karpet di Lebuh Bishop. Saya antara peguam yang menunggang motorsikal ke kerja sehinggalah saya mampu membeli kereta pertama - Proton Iswara Aeroback - lima tahun kemudian pada lewat 90-an,” katanya kepada Malaysia Decides.
Baljit sering melakukan kebajikan dengan membantu golongan miskin, menderma makanan, ubat-ubatan, cermin mata dan menyediakan nasihat perundangan. Semua kerja kebajikan itu membuatkan nama beliau dikenali masyarakat setempat.
Beberapa pekerja muda yang bekerja di firma guamannya berasal daripada keluarga yang dibantunya. Mereka memanggilnya sebagai “uncle” di pejabat, meskipun Baljit merasakan dirinya masih muda walaupun sudah berusia 51 tahun. – 2 Mei, 2018.
Komen