Katak politik masih ‘melompat’ akibat kelemahan undang-undang


Ravin Palanisamy

Bersatu gantung keahlian dua ahli Parlimennya selama empat tahun dan enam tahun susulan mereka menyatakan sokongan kepada kerajaan perpaduan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 November, 2023.

WAKIL rakyat pembangkang mengeksploitasi kelemahan dalam undang-undang anti lompat parti untuk kekal di tempat mereka walaupun tindakan itu melanggar pendirian parti masing-masing dan menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kata pemerhati.

Mereka berkata dalam kes Bersatu, parti itu tidak boleh memecat empat ahli Parlimennya yang mengumumkan sokongan kepada Anwar, kerana ia bermakna parti itu boleh hilang empat kerusi berkenaan.

Undang-undang yang diluluskan pada Oktober lalu, secara prinsipnya direka untuk mencegah wakil rakyat yang dipilih atas tiket sesebuah parti politik, daripada melompat ke parti politik lain selepas berjaya memperoleh kerusi dipertandingkan itu.

Bagaimanapun, melihat kepada trend semasa, empat wakil rakyat daripada Bersatu menyatakan sokongan kepada kerajaan perpaduan diketuai Anwar, walaupun mereka adalah pembangkang.

Peguam perlembagaan, Lim Wei Jiet berkata undang-undang itu tidak mencegah atau menghukum wakil rakyat yang menyatakan sokongan kepada pihak lain ketika mereka kekal dalam parti itu.

“Ada kelemahan. Undang-undang itu tidak menghukum wakil rakyat yang menyatakan sokongan kepada perdana menteri,” katanya.

Artikel 49A(1)(a) Perlembagaan Persekutuan – yang memperkasakan undang-undang anti lompat parti – menunjukkan undang-undang itu mencegah ahli Parlimen daripada keluar parti yang dinaunginya ketika menang pilihan raya.

Bagaimanapun, Artikel 49A(2)(c) menyatakan seseorang wakil rakyat tidak akan berhenti menjadi ahli Parlimen apabila dia dipecat daripada partinya. Ahli Parlimen yang dipecat bebas menyertai parti politik lain.

“Dalam penjelasan ringkas, jika sesebuah parti memecat ahli Parlimen atau Adun, maka individu itu tidak akan hilang kerusinya.

“Tetapi jika mereka letak jawatan, maka mereka akan hilang kerusi itu,” katanya.

Bagaimanapun, akta itu tidak melarang wakil rakyat memberi sokongan atas kapasiti mereka sebagai individu, seperti mana dilakukan empat ahli Parlimen Bersatu terbabit.

Empat ahli Bersatu terbabit yang menyatakan sokongan kepada kerajaan perpaduan adalah: Ahli Parlimen Jeli Zahari Kechik, Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim.

Mereka berkata masih kekal setia kepada Beratu dan tidak akan keluar parti itu.

Minggu lalu, Bersatu menggantung keahlian Iskandar selama empat tahun dan Suhaili enam tahun. Keputusan berkenaan dua lagi ahli Parlimen belum lagi diumumkan.

Pada Khamis, Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, juga daripada Bersatu, berkata beliau akan menyokong kerajaan perpaduan jika permohonannya mendapatkan dana untuk kawasannya, diberikan.

Lim berkata wakil rakyat ini jelas sudah dinasihatkan berkenaan implikasi tindakan mereka supaya mereka tidak hilang kerusi masing-masing.

“Ahli Parlimen ini sudah mendapatkan nasihat guaman dan menyusun kenyataan mereka selaras dengan kesan daripada akta anti lompat parti,” katanya.

Lim berkata Bersatu tidak boleh bertindak secara terburu-buru kerana tahu ia akan memberi kesan kepada mereka.

“Itu sebabnya Bersatu tidak memecat mereka, hanya digantung keahlian dalam tempoh panjang.

“Mungkin mereka berharap satu hari nanti mereka akan kembali menyokong Perikatan Nasional (PN).” – 11 November, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen