TINDAKAN tergesa-gesa kerajaan meluluskan Akta Antiberita Tidak Benar di Parlimen adalah semata-mata untuk mewujudkan perasaan takut dalam kalangan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Pesuruhjaya Suhakam, Mah Weng Kwai berkata amat malang apabila Suhakam dan Majlis Peguam tidak diajak berunding dalam proses menggubal akta tersebut.
“Kami amat kecewa apabila kerajaan tidak berbincang dengan kami mengenai akta tersebut. Mereka membentuk jawatankuasa tetapi tidak menjemput kami,” katanya dalam forum bertajuk “Role of the Media in GE14 in the context of the Anti-Fake News Act 2018 and Contemporary Human Right Issues”.
Mah juga berkata bahawa draf penggubalan akta tersebut tidak sempurna kerana beberapa perkataan berkaitannya dilihat mempunyai makna yang samar sebagai contoh perkataan “niat jahat”
“Walaupun kita ada takrif apa itu palsu tetapi kita tidak ada takrif apa itu salah,” katanya.
Sementara itu, peguam Gurdial Singh Nijar berkata perdana menteri sebagai individu boleh dikenakan hukuman di bawah akta tersebut tetapi proses pendakwaan bergantung kepada peguam negara.
“Di bawah undang-undang berkenaan, kamu tidak boleh mendakwa pihak yang disebutkan. Hanya peguam negara yang boleh ambil tindakan.
“Dalam istilah praktikalnya walaupun dia boleh didakwa, tetapi siapa yang sanggup untuk berbuat demikian?” katanya.
Selepas selesai forum, acara nyalaan lilin diadakan sebagai tanda protes terhadap Akta Antiberita Tidak Benar.
Pengerusi Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Majlis Peguam, Roger Chan berkata akta tersebut mencabuli hak asasi manusia dan menggesa agar kerajaan sementara menarik segera akta tersebut.
“Kami gesa pihak berkuasa dari kerajaan sementara untuk mengambil langkah pantas untuk membatalkan akta ini.
“Ia bertentangan dengan perlembagaan dan tidak berperikemanusiaan dan merampas semua hak kita,” katanya. – 2 Mei, 2018.
Komen