PERDANA Menteri Jepun Shinzo Abe menyatakan sokongan kepada usaha perdana menteri sementara Najib Razak untuk mengekalkan kerajan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata ahli dewan negara Jepun, Keiji Furaya di Perak hari ini.
Sokongan Abe itu dizahirkan menerusi sepucuk surat kepada Najib yang disampaikan timbalan perdana menteri sementara Ahmad Zahid Hamidi hari ini oleh Furuya dan Duta Jepun ke Malaysia Dr Makio Miyagawa.
Furuya dan Miyagawa hadir di Tanjong Malim di mana Zahid mengadakan sesi bertemu rakyat.
“Abe mengirimkan ucapan selamat maju jaya kepada Najib untuk pilihan raya umum kali ini kerana kedua-kedua kerajaan menikmati hubungan yang baik,” kata Furuyo kepada pemberita pada acara di dewan masyarakat Sungkai.
Furuya berkata beliau dan Zahid adalah “sahabat baik”.
“Kami (Jepun) mempunyai perjanjian perkongsian ekonomi strategik dengan Malaysia yang harus diteruskan.”
Ketika ditanya pemberita mengenai sokongan masyarakat yang semakin berkurangan terhadap BN, Furaya berkata Jepun tidak masuk campur dalam urusan dalam negara Malaysia.
Sementara itu, Miyagawa, enggan bercakap dengan pemberita.
Kehadiran dua individu berbangsa Jepun itu mengundang reaksi di dewan masyarakat tersebut namun disambut mesra oleh Zahid, yang berasal dari Perak dan mempertahankan kerusi Bagon Datoh yang disandangnya.
Zahid kemudian memberitahu pemberita bahawa sokongan Abe bukan suatu bentuk campur tangan politik. “Mereka hanya menyampaikan surat Abe kepada perdana menteri (Najib) dan mereka hanya mahu menyapa pengundi tempatan dan penyokong BN.”
Zahid menambah yang terdapat beberapa syarikat Jepun sedang menunggu untuk melabur di Tanjong Malim jika BN berjaya mengekalkan kerusi Persekutuan dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya.
Tanjong Malim adalah kubu kuat Umno di bawah parti komponennya, MCA. Selepas sekian lama menyaksikan persaingan satu lawan satu, kerusi itu kali ini bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara BN, PAS dan Pakatan Harapan.
Bagaimanapun, Sungkai, salah satu daripada kerusi DUN di bawah Parlimen tersebut, dipegang pembangkang melalui DAP selama dua penggal. – 2 Mei, 2018.
Komen