Di sebalik kebangkitan Warisan, Sabah kekal di tangan BN


The Malaysian Insight

DI sebalik populariti dan kebangkitan Warisan pimpinan Shafie Apdal, seorang penganalisis Universiti Malaysia Sarawak berpandangan Sabah akan kekal di tangan Barisan Nasional (BN).

Arnold Puyok berkata, BN akan terus berkuasa walaupun sekutu Kadazandusun mereka “lemah”.

Puyok meramalkan BN akan kekal memerintah Sabah dengan 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sementara Pakatan Harapan (PH) dan Warisan mendapat 15 kerusi.

Sementara bagi kerusi Parlimen, BN akan mendapat 21 kerusi berbanding pembangkang yang hanya dijangka mendapat empat kerusi.

“Pertembungan empat hingga lima penjuru sebenarnya adalah pengacau,” katanya dan menambah BN biasanya akan mendapat separuh daripada undi dan selebihnya untuk pembangkang.

“Presiden Parti Bersatu Sabah Joseph Pairin Kitingan masih bersama Ketua Menteri Musa Aman. 

“Shafie cuba mendapatkan sokongan Kadazandusun daripada BN kerana beliau tidak berjaya mendapatkan sokongan mencukupi daripada pemimpin Kadazandusun untuk menyokong Warisan,” katanya.

Katanya Warisan dan PH berdepan “cabaran” daripada parti pembangkang tempatan seperti Star, SAPP, Parti Anak Negeri, Parti Harapan Baru dan Parti Cinta Sabah.

Puyok berkata, kebanyakan pengundi luar bandar mahukan penyelesaian kepada kenaikan kos hidup dan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

“Bila kita bercakap tentang Sabah, kita juga perlu bercakap tentang Najib (Razak).

“Najib mencuba sedaya upaya di sini kerana Sabah adalah deposit tetapnya,” katanya.

Puyok menambah, Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad tidak mempunyai polisi yang spesifik untuk Sabah. 

Sementara itu, pada sesi soal jawab bekas pensyarah Universiti Malaysia Sarawak, Andrew Aeria mempersoalkan metodologi kajian Puyok yang hanya membuat rumusan berdasarkan kepada sentimen dan personaliti. – 2 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen