TINJAUAN terbaru Merdeka Center yang didedahkan hari ini mendapati Pakatan Harapan (PH) semakin hampir mencapai sasarannya untuk menawan Johor.
Pengarah Merdeka Center Ibrahim Suffian berkata, buat masa ini Barisan Nasional (BN) masih mendahului akan tetapi pertandingan itu dijangka “sengit” semasa minggu terakhir berkempen.
“Kami mempunyai kaji selidik kira-kira 700 responden yang dilakukan sehingga pada malam tadi.
“Daripada penemuan awal, kami mendapati PH telah mendapat tambahan undi Melayu dan undi Cina masih kekal sama.
“Pertambahan sokongan itu mencapai titik di mana mereka semakin hampir ke ambang kemenangan, tetapi buat masa ini, (kami mendapati) BN tetap menang,” kata Ibrahim di Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Ibrahim, data mengenai kajian Merdeka Center masih tidak dapat diterbitkan memandangkan kajian masih berjalan.
Minggu lalu Merdeka Center menerbitkan data kajian mengenai Johor yang dibuat sehingga 9 April.
Menurut tinjauan itu, undi popular di Johor adalah 47 peratus untuk BN dan 42 peratus untuk PH manakala PAS pula adalah 11 peratus.
Bagi PH, peratus yang menyokong mereka adalah 19.4 peratus Melayu, 77.6 peratus Cina dan 32.7 peratus India.
Pada 9 April Ibrahim berkata untuk PH berpeluang secara realistik memenangi Johor, gabungan tersebut memerlukan sokongan 10 peratus lagi undi Melayu dan sokongan lima peratus undi Cina di negeri itu. – 2 Mei, 2018.
Komen