Takut kalah, tiada calon punca Khaled tanding dua kerusi, kata pengundi


The Malaysian Insight

SEBAHAGIAN pengundi di Johor merasakan menteri besar sementara negeri itu, Mohamed Khaled Nordin bertanding di dua kerusi Parlimen dan negeri kerana takut kalah kalau hanya bertanding di satu kerusi.

Selebihnya, mereka merasakan Barisan Nasional (BN) tiada calon yang berkaliber untuk ditampilkan di kerusi yang ditandingi oleh Khaled itu.

Khaled yang bertanding di kerusi Parlimen Pasir Gudang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas berdepan saingan tiga calon dari Pakatan Harapan, PAS dan Bebas di kedua-dua kerusi berkenaan.

“Itu Khaled sudah takut kalah, sebab itu dia mahu bertanding dua kerusi, takut nanti bertanding satu kerusi dia kalah, habislah dia,” kata pengundi di DUN Permas, yang hanya mahu dikenali sebagai Leong, 68.

Awie Ahmad, 64, turut berkongsi pendapat dengan Leong, dan mengatakan risiko untuk Khaled tewas tetap ada walaupun beliau merupakan menteri besar.

“Takut kalah mungkin. Walaupun dia menteri besar, takut-takut dia kalah majoriti lebih kecil,” katanya.

Awie turut menjangkakan Khaled tidak lagi dilantik menjadi menteri besar selepas PRU14 sekiranya BN masih mentadbir Johor.

Gopal, 35, bagaimanapun melihat ketiadaan calon berkaliber menjadi faktor BN kembali meletakkan Khaled bertanding di kerusi lamanya itu.

“Mungkin BN tiada calon yang lebih layak di kawasan itu selain Khaled. Kalau takut kalah, tak mungkin menteri besar sanggup bertanding,” katanya, ketika ditemui di Bandar Baru Uda.

Khaled akan menentang Ab Aziz Abdullah dari PAS selain Hassan Abdul Karim dari PH dan calon Bebas Sey Jock di kerusi Parlimen Pasir Gudang.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-13, kerusi Parlimen Pasir Gudang dimenangi calon BN Normala Samsudin dengan 935 undi.

Bagi kerusi DUN Permas, Khaled sekali lagi akan berhadapan Ab Aziz termasuk Che Zakaria Mohd Salleh dari PH serta calon Bebas, Rohani Yaacob.

Khaled dalam pertemuan bersama pengundinya bagaimanapun berkata beliau bertanding di dua kerusi adalah untuk memantapkan pasukan Johor di peringkat Persekutuan.

Beliau juga semalam menepis ramalan akan berlaku kebangkitan pengundi Melayu menolak Umno dan BN pada PRU14 ini. – 2 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen