RAFIZI Ramli bersedia untuk berdepan Khairy Jamaluddin di mahkamah berhubung komennya di media sosial mengenai calon PKR, Dr S. Streram dihalang daripada menghantar kertas pencalonnya.
Penyandang kerusi Parlimen Pandan berkata peguam ketua pemuda Umno itu telah menghantar surat tuntutan kepada beliau berhubung perkara itu hari ini.
“Saya bersedia untuk berdepan dengan Ketua Pemuda Umno itu di mahkamah, seperti mana saya telah berdepan dengan pimpinan Umno yang lain sebelum ini.
“Namun, itu tidak menghapuskan tanggungjawab moral Khairy untuk menjelaskan perkara-perkara yang menimbulkan kemarahan orang ramai mengenai pembabitan individu yang pernah berjawatan dalam Pergerakan Pemuda Umno Rembau yang menyebabkan calon Pakatan Harapan itu dihalang (daripada bertanding),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Rafizi berkata pengguna media sosial telah menunjukkan bukti dalam bentuk video dan gambar daripada Facebook yang mengesahkan bahawa pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Hafidzan Idris, yang merupakan bekas ketua penerangan pemuda Umno Rembau, menghalang Dr Streram daripada menghantar borang pencalonannya.
Dilaporkan bahawa Rafizi didakwa membangkitkan sentimen perkauman dalam kalangan pengundi India di Rembau apabila berkata yang calon daripada masyarakat minoriti telah dihalang daripada bertanding pada pilihan raya 9 Mei, sambil menggesa pengundi India agar membalas dendam dengan tidak mengundi BN.
Rafizi berkata Khairy ada tanggungjawab untuk menjelaskan kepada pengundi di Rantau dan Rembau sama ada beliau kenal Hafidzan secara peribadi.
“Tindakan menyaman saya dengan serta merta menunjukkan Khairy sendiri bimbang dengan kemarahan pengundi (terutamanya pengundi India) yang boleh menjejaskan peluangnya di kerusi Rembau.”
Pada Sabtu lepas, Pemuda Umno membuat satu laporan polis terhadap Rafizi berhubung kenyataannya di sosial media mengenai kemenangan menteri besar sementara Negeri Sembilan di Rantau.
Mohamad memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau selepas Dr Streram dihalang daripada memasuki pusat pencalonan bagi menghnatar borang pencalonannya ekoran tidak membawa pas calon yang diminta SPR. – 2 Mei, 2018.
Komen