Polis siasat Dr Mahathir di bawah Akta Antiberita Tidak Benar


The Malaysian Insight

POLIS sedang menyiasat Dr Mahathir Mohamad di bawah Akta Antiberita Tidak Benar 2018 kerana kenyataannya mendakwa pesawatnya disabotaj, kata polis hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim berkata, satu laporan dibuat terhadap pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu tetapi enggan menamakan pengadu.

“Penyiasatan ini berkaitan dengan kenyataan Dr Mahathir yang mendakwa pesawatnya disabotaj. Kami menerima laporan dan sedang menyiasatnya,” kata Mazlan.

Dr Mahathir mendakwa pada Jumaat pesawat yang sepatutnya dinaiki ke Langkawi disabotaj.

Beliau mendakwa sebelum berlepas, juruterbang mengumumkan pesawat itu rosak dan  ia tidak dapat dibaiki segera.

Dr Mahathir mengatakan kejadian itu adalah percubaan untuk menghalangnya daripada menyerahkan borang pencalonannya di Langkawi keesokan harinya, sambil menambah beliau juga mungkin mati dalam kemalangan.

Putrajaya mengarahkan siasatan segera dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam satu kenyataan berkata ia tidak menemui sebarang tanda menunjukkan pesawat itu disabotaj.

Pengerusi CAAM Azharuddin Abdul Rahman berkata, pesawat itu tidak dapat terbang kerana  ekoran berlaku kebocoran udara pada tayar kiri, yang merupakan kesalahan teknikal kecil dan rutin.

Selain kes melibatkan Dr Mahathir, kata Mazlan, pihaknya turut membuka tujuh lagi kertas siasatan membabitkan kesalah pilihan raya sejak Sabtu lepas sehingga hari ini.

“Kertas siasatan yang dibuka setakat hari ini membabitkan lapan kes kesalahan ketika kempen dari 28 April hingga hari ini.

“Tiga kes membabitkan khianat disiasat mengikut Seksyen 472 Kanun Keseksaan, satu kes khianat dengan api, satu mengikut Akta Antiberita Tidak Benar berhubung dakwaan Dr Mahathir kapal terbang beliau disabotaj dan satu kes Kertas Enkuiri Polis (KEP),” katanya seperti dipetik BH Online.

Awal minggu ini, seorang warga Denmark menjadi orang pertama dihukum di bawah Akta Antiberita Tidak Benar yang baru digubal, melalui video YouTube yang dimuat naik mengenai penembakan disyaki anggota Hamas di Kuala Lumpur.

Salah Salem Saleh Sulaiman, 46, mengaku bersalah menerbitkan berita palsu dalam bentuk video di YouTube yang mendakwa beliau bersama mangsa, seorang warga Palestin semasa kejadian tembakan dan membuat panggilan berulang kali kepada polis yang tiba di tempat kejadian 50 minit kemudian manakala ambulans datang sejam selepas itu.

Salah Salem dijatuhi hukuman penjara seminggu dan RM10,000. – 2 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen