Kerajaan sedia maafkan Harakah, kata Fahmi


Ravin Palanisamy

Pada Selasa, Perdana Menteri Anwar Ibrahim membidas pemimpin PAS kerana menggunakan Harakah untuk menyebarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap pentadbirannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 November, 2023.

MENTERI Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata Putrajaya sedia memaafkan Harakah milik PAS susulan laporannya yang mengaitkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan Israel.

Beliau memberitahu Parlimen yang kerajaan menantikan rayuan parti Islam itu berhubung pembatalan kad media penerbitan itu.

“Saya difahamkan Harakah akan menghantar surat rayuan dan kami mengalu-alukannya. Saya akan berbincang dengan Jabatan Penerangan.

“Kami sedia memaafkan (mereka) seperti yang dikatakan oleh perdana menteri. Tidak menjadi masalah,” kata ahli Parlimen Lembah Pantai itu di Dewan Rakyat hari ini.

Fahmi menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas-PN), yang meminta menteri menyatakan pendirian kerajaan mengenai kebebasan akhbar dan kebebasan bersuara.

Harakah baru-baru ini menerbitkan laporan bertajuk “Malaysia di bawah Anwar ragu-ragu sokong Palestin”.

Artikel itu menjadikan Anwar seolah-olah menyokong Israel dengan menyiarkan foto beliau dengan latar belakang bendera Israel dan bendera Palestin di belakang ketua ulama PAS Ahmad Yahya.

Pada Selasa, Anwar membidas pemimpin PAS kerana menggunakan akhbar itu untuk menyebarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap pentadbirannya.

Anwar, yang juga menteri kewangan, menuduh Majlis Ulama pembangkang membuat tohmahan mengaitkannya dengan Israel.

Susulan kenyataan perdana menteri semalam, Jabatan Penerangan membatalkan pas media wartawan Harakah, sekali gus menyekat akses mereka ke premis kerajaan, termasuk Parlimen.

Semalam, Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) menyatakan kebimbangan serius mengenai laporan beretika dan langkah Jabatan Penerangan membatalkan kad media penerbitan itu.

Pengarah Eksekutif CIJ Wathshlah G Naidu berkata amat membimbangkan kerana tiada ketelusan dalam cara keputusan itu dibuat. – 9 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen