Kerajaan jamin kebebasan media, kata Fahmi


Ravin Palanisamy

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata kerajaan  turut menjamin hak rakyat untuk bebas bersuara mengikut Perlembagaan Persekutuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 November, 2023.

TIADA wartawan ditahan atau firma media terpaksa ditutup di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sejak beliau berkuasa hampir setahun lalu, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil kepada Parlimen hari ini

“Dalam pentadbiran sekarang, tiada wartawan atau petugas media ditahan atau ditangkap polis.

“Dan tidak ada satu akhbar atau syarikat media yang dipaksa tutup oleh pihak berkuasa,” kata ahli Parlimen Lembah Pantai itu kepada Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas-Perikatan Nasional), yang meminta menteri memberi jaminan kerajaan ia tidak akan menyalahgunakan pihak berkuasa untuk menyekat kebebasan media dan bersuara.

Fahmi berkata kerajaan menyokong kebebasan media dan menjamin hak rakyat untuk kebebasan bersuara mengikut Perkara 10 (A) Perlembagaan Persekutuan.

“Bagaimanapun, kebebasan bersuara tidak bermakna seseorang individu boleh membuat tuduhan, fitnah, mengeluarkan kata-kata kesat atau kebencian terhadap institusi diraja, tidak juga memperlekehkan agama atau berkata sesuatu yang berunsur perkauman,” katanya.

Fahmi berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjalankan tanggungjawab dan fungsinya berdasarkan peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

“Tindakan diambil oleh SKMM adalah selaras dengan Akta 588 dan bukan untuk menyekat kebebasan media.

“Tetapi (ia) bagi memastikan penyebaran maklumat dilakukan secara bertanggungjawab dan tanpa menyebarkan fitnah atau maklumat yang tidak tepat, ucapan kebencian, serta melindungi integriti raja berperlembagaan dan institusi demokrasi daripada sebarang cubaan untuk mencetuskan kebencian atau penghinaan,” katanya.

Fahmi menggesa pengamal media serta saluran berita merujuk kepada kod kandungan yang memberikan panduan jelas mengenai standard kandungan selaras dengan Akta 588.

“Dengan mematuhi kod kandungan ini, pengamal media boleh memastikan pelaporan yang bertanggungjawab sambil mengelak melampau batas kebebasan bersuara,” katanya sambil menambah kod itu boleh dimuat turun dari laman web SKMM.

Sementara itu, sebagai komitmen dan sokongan untuk memastikan kebebasan media di negara ini dikekalkan serta membantu pengamal media menangani cabaran dihadapi, Fahmi berkata, kerajaan bersetuju dengan cadangan penubuhan Majlis Media Malaysia sebagai badan kawal selia kendiri melalui akta berkaitan.

“Cadangan penubuhan majlis ini mengambil kira peranan majlis mempertahankan kebebasan media di negara ini dalam menyampaikan maklumat.

“Sehingga kini, sebanyak lapan mesyuarat sudah diadakan dengan jawatankuasa pro-tem sejak Januari 2020,” katanya. – 9 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen