PAS boleh jadi 'kingmaker' di Kedah, kata penganalisis


The Malaysian Insight

PAS mampu menjadi ‘kingmaker’ di Kedah selepas seorang penganalisis meramalkan akan berlaku keadaan Dewan Undangan (DUN) tergantung selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei.

Ini kerana Prof Madya Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia (UUM) meramalkan Barisan Nasional (BN) akan memenangi 16 daripada 36 kerusi, diikuti Pakatan Harapan (12) dan PAS (8).

“PAS boleh menjadi kingmaker di Kedah,” kata Azizuddin pada forum PRU14 anjuran Ikmas Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Merdeka Center di Kuala Lumpur hari ini.

Sekiranya ramalan Azizuddin ini tepat, BN atau PH memerlukan sokongan PAS untuk membentuk kerajaan kerana parti politik atau sesebuah gabungan memerlukan 19 kerusi di DUN Kedah untuk memerintah.

Azizuddin berkata, BN gagal untuk mempertahankan Kedah kerana isu ekonomi tempatan dan kepimpinannya yang lemah.

Selain itu, faktor Pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad yang berasal daripada Kedah dan menjadi perdana menteri selama 22 tahun memberikan cabaran kepada BN.

“(Pengerusi BN Kedah) Ahmad Bashah Md Hanipah tidak boleh dianggap pemimpin yang kuat.

“Di Kedah, mereka tidak memerlukan seseorang yang berpendidikan atau cemerlang, mereka hanya mahukan seorang pemimpin tempatan yang dapat melindungi mereka, seseorang yang rapat dengan rakyat di bawah, sudah cukup,” kata Azizuddin.

Azizuddin bagaimanapun memberi amaran sentimen pilihan raya sangat dinamik dan pelbagai perkara boleh berubah dalam tempoh berkempen yang tinggal tujuh hari lagi.

“Banyak kerusi marjinal di Kedah dan ia boleh dimenangi sesiapa saja,” katanya.

Bagi kerusi Parlimen di Kedah, Azizuddin meramalkan BN akan mengekalkan tujuh kerusi Parlimen di Kedah, lapan dimenangi PH manakala PAS hilang semua kerusi.

Bagaimanapun, tinjauan Merdeka Center pula berbeza dengan penemuan Azizuddin.

“Tinjauan kami bagi Kedah, kami merasakan PAS akan kehilangan semua kerusi,” kata Pengarah Merdeka Center Ibrahim Suffian. – 2 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen