MCA berkiblatkan China, kata Perkasa


The Malaysian Insight

KUMPULAN pendesak hak Melayu, Perkasa menyoal apakah MCA menjadi wakil kepada Parti Komunis Cina (PKC) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) melalui papan iklan yang dinaikkan di Johor.

Timbalan Presiden Perkasa Sirajuddin Salleh dalam satu kenyataan berkata: “Seolah-olah Presiden MCA serta seluruh jentera MCA sudah menjadi wakil PKC di negara ini .”

Sirajuddin berkata dalam usaha untuk mempamer hubungan dengan CCP, MCA telah memasang papan iklan menujukkan Presiden MCA Liow Tiong Lai bersalaman dengan Presiden CCP, Xi Jinping.

“Presiden China ialah orang terkuat dalam PKC dimana ideologi Komunis yang masih diamalkan sehingga hari ini. Terlalu jelas untuk kita tidak nampak bahawa MCA berkiblatkan China,” katanya.

Di Johor, sebuah papan iklan menunjukkan Liow bersalaman degan Xi, dengan pujian mengenai hubungan MCA dengan PKC dan bagaimana rakyat akan mendapat manfaat daripada Belt and Road Initiative yang ditulis dalam bahasa Mandarin.

Pakatan Harapan (PH) telah membuat aduan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai papan iklan tersebut selepas agensi itu mengarahkan supaya gambar Dr Mahathir Mohamad pada poster-poster kempen dipotong.

Sirajuddin berkata MCA tidak sepatutnya melibatkan PKC untuk berkempen.

Jelas beliau tindakan mungkin merupakan langkah awal ideologi komunis diserapkan ke dalam negara.

Sirajuddin juga mempersoalkan parti-parti politik dan pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap tindakan MCA itu.

“Mengapakah pemimpin pemimpin Umno yang melaungkan perjuangan mendaulatkan agama,bangsa dan negara, menjadi kelu dan membisu tentang perkara ini?” soal beliau.

Sirajuddin berkata pemimpin-pemimpin Umno telah lupa mengenai ribuan anggota keselamatan terkorban dan cedera semasa memerangi Komunis di Tanah Melayu dahulu.

“Perkasa dengan ini meminta KDN (Kementerian Daalam Negeri) dan SPR supaya menurunkan papan rentang tersebut dan melabelkannya sebagai satu propaganda yang mengancam keselamatan negara,” katanya. – 2 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen