TIDAK mustahil tsunami Melayu boleh berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan tinjauan terbaru menunjukkan sokongan kaum itu terhadap Pakatan Harapan (PH) meningkat.
Tinjauan terbaru yang dibentangkan Merdeka Center hari ini juga mencadangkan, PAS akan hilang ja hampir kesemua kerusi di pantai Barat Semenanjung Malaysia.
“Sokongan Melayu terhadap Barisan Nasional menurun sedikit akan tetapi masih lagi dalam keadaan menguasai.
“Tinjauan juga menunjukkan di mana-mana di pantai barat semenanjung Malaysia, di luar Kedah, PAS sebenarnya lemah dan undi Melayu adalah persaingan antara Pakatan dan BN,” kata Pengarah Merdeka Center Ibrahim Suffian ketika membentangkan tinjauan terbaru mereka di Kuala Lumpur hari ini.
Merdeka Center mendedahkan berbanding dua minggu lalu, sokongan Melayu terhadap PH meningkat daripada 20 kepada 27.8 peratus, setakat pada 1 Mei.
Sementara sokongan Melayu terhadap BN menurun daripada 53 peratus pada 18 April kepada 51.2 peratus pada 1 Mei.
Manakala sokongan Melayu terhadap PAS menurun daripada 27 kepada 20.9 peratus pada 1 Mei.
Ibrahim menambah pada saat ini, BN masih lagi menguasai undi Melayu.
Menurut tinjauan Merdeka Center, sokongan kaum Cina terhadap PH juga meningkat daripada 85 kepada 85.3 peratus.
Katanya , sokongan masyarakat India kepada BN meningkat daripada 41 kepada 49 peratus.
Manakala sokongan masyarakat India kepada PH menurun daripada 54 kepada 50.8 peratus.
“Sokongan India terhadap PAS menurun daripada 5 kepada tidak sampai satu peratus,” katanya. – 2 Mei, 2018.
Komen