CALON Pakatan Harapan Muhamad Bakhtiar Wan Chik menaruh harapan supaya pengundi kerusi Parlimen Balik Pulau kekal berang terhadap pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) semasa hari membuang undi, namun sentimen di kawasan yang kurang dibangunkan di Pulau Pinang ini nampaknya menunjukkan kebimbangan yang lain.
Bakhtiar, yang mengambil peluang kedua di kerusi yang dimenangi PKR pada 2008 tetapi kalah kepada Barisan Nasional (BN) pada 2013 dengan kelebihan 1,539 undi, percaya beliau mempunyai peluang yang cerah kerana menurutnya rakyat tidak senang dengan GST.
Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang berusia 52 tahun itu juga percaya yang “faktor” Dr Mahathir Mohamad membolehkan beliau menembusi kubu kuat Umno seperti di Kampung Seronok, yang sebelum ini sukar untuk dimasuki.
“Seorang mak cik dari kampung itu bagi tahu saya yang dia ‘dah cemuih’ (bosan). Dia rasa BN berkuasa terlalu lama.
“Saya harap rakyat undi untuk perubahan lagi di Balik Pulau. Jangan termakan dengan pemberian bersifat sementara dan lupa untuk tempoh lima tahun mendatang. PH sudah buktikan yang ia boleh jadi kerajaan yang baik di Malaysia. Lihat sahaja Selangor dan Pulau Pinang. Sudah tiba masanya untuk BN direhatkan,” katanya kepada Malaysia Decides.
Balik Pulau mempunyai 59,086 pengundi dengan 65% daripadanya pengundi Melayu, 30% Cina, 4.2% India. Kebanyakan mereka terdiri daripada kelas pekerja. Walaupun kerusi itu dikuasi BN, ia terletak di negeri yang diketuai PH.
Masyarakat Cina tempatan, kata Bakhtiar, memberi sokongan mengalakkan kepada PH, justeru gabungan itu akan memfokuskan usaha untuk menarik sokongan orang Melayu atas pagar.
Namun, bagi penjaja yang hanya mahu dikenali sebagai Hussein, 47, orang ramai hanya datang ke Balik Pulau ketika musim durian.
“Bila kali terakhir ketua menteri (sementara) Lim Guan Eng datang ke Balik Pulau? Ini bukan kawasan orang ulak alik ke kerja atau rumah, jadi perniagaan teruk,” katanya.
Beliau merasakan yang kerajaan negeri terlalu banyak menumpukan acara besar untuk menarik pengunjung di Georde Town dan Bayan Baru, tetapi terlalu sedikit untuk merangsang ekonomi di Balik Pulau.
Setakat ini, tiada program dan acara popular dilaksanakan di Balik Pulau, jika ada pun, hanyalah acara yang dianjurkan BN kerana penyandang Parlimen tersebut Dr Hilmi Yahya adalah sebahagian daripada gabungan pemerintah, kata Hussein.
Dr Hilmi, yang merupakan timbalan menteri kesihatan sementara, akan mempertahankan kerusi tersebut untuk penggal ketiga.
Pemilik restoran di Teluk Bahang Izwan Yusof, 32, turut berkongsi rasa kesal Hussein, sambil menambah yang penduduk di kawasan ini mahukan wakil rakyat yang sedar akan kesulitan mereka - tidak mempunyai pendapatan tetap.
Namun bagi Bakthiar, kurangnya aktiviti ekonomi adalah disebabkan janji yang tidak ditunaikan Dr Hilmy dan BN.
Katanya jika PH mengambil alih pentadbiran kerajaan Persekutuan, gabungan itu akan memperkenalkan rancangan ransangan ekonomi untuk Balik Pulau, menyedikan lebih banyak latihan kemahiran, pekerjaan dan gaji yang berpatutan untuk pemuda tempatan dan memulakan inisiatif perkhidmatan bas percuma untuk kanak-kanak bersekolah.
Nelayan tempatan turut menyatakan rasa tidak puas hati terhadap projek tambakan laut yang dilaksanakan kerajaan negeri di pesisir laut bahagian selatan pulau, termasuk kawasan Balik Pulau. Tetapi Bakhtiar berkata yang dakwaan mengenai projek berkenaan tidak sepenuhnya tepat, sambil mendakwa nelayan Gertak Sanggul yang tinggal dekat dengan tempat cadangan projek itu “sangat okay” dengan pembangunan itu.
“Kebimbangan mereka adalah mengenai pencerobohan oleh kapal pukat tunda, ‘pukat harimau’ yang menangkap semua ikan, dan memberi kesan terhadap sumber rezeki nelayan,” katanya. – 2 Mei, 2018.
Komen