PAKATAN Harapan (PH) mempunyai kelebihan dalam undi popular berbanding Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata sebuah badan tinjauan bebas hari ini.
Dapatan ini mungkin menggembirakan PH, tetapi dalam sistem pilihan raya First Past The Post (FPTP) diamalkan Malaysia, parti yang memenangi jumlah kerusi Parlimen terbanyak akan membentuk kerajaan.
“Sekiranya pilihan raya diadakan hari ini, PH akan mendapat undi popular sebanyak 43.7%, BN 40% dan PAS sebanyak 16%.
“Akan tetapi BN masih membentuk kerajaan baru selepas PRU14 walaupun dengan undi popular lebih rendah,” kata Pengarah Merdeka Center Ibrahim Suffian apabila membentangkan kajian terbaru mereka di Kuala Lumpur hari ini.
Pada PRU13, gabungan pembangkang pada ketika itu Pakatan Rakyat (PR) mendapat 52% undi popular berbanding BN.
Akan tetapi, PR tidak berjaya membentuk kerajaan kerana hanya memenangi 89 kerusi Parlimen berbanding BN sebanyak 133.
Ibrahim berkata, PRU14 ini akan menjadi pertembungan sengit antara BN dan PH.
“Kami mendapati Pakatan akan mempertahankan Selangor dan Pulau Pinang.
“Mereka akan mendapat penambahan daripada negeri-negeri lain, kebanyakannya daripada PAS,” katanya.
Ibrahim berkata, perubahan itu berlaku selepas hari penamaan pada 28 April, selepas para pengundi kini tahu siapa calon-calon PH dan mula memikirkan keputusan mengenainya. – 2 Mei, 2018.
Komen