Saifuddin mahu tumpu isu pendidikan, kebajikan di Kulim-Bandar Baharu


The Malaysian Insight

CALON Pakatan Harapan (PH), Saifuddin Nasution berkata beliau akan memberi fokus pada isu pendidikan dan kebajikan di kawasan Parlimen Kulim-Bandar Baharu jika menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Setiausaha agung PKR itu berkata isu pendidikan juga amat dekat dengan dirinya yang lahir dalam keluarga susah. Adik beradiknya seramai 12 orang dibesarkan oleh bapanya, seorang pemandu bas dan ibunya yang buta huruf.

“Sekarang lapan daripada keluarga saya adalah guru cuma saya dan abang terlibat dalam politik. Alhamdulillah pendidikan boleh mengubah kehidupan saya. Jadi, saya sangat minat dan komited dengan isu pendidikan.

“Melalui pendidikan yang baik, tidak ada langsung akan terabai atau tersisih kerana masalah kewangan dan ekonomi,” katanya kepada Malaysia Decides selepas menemui pengundi di Kulim-Bandar Baharu.

Menerusi isu kebajikan pula, Saifuddin yang juga penasihat strategi ketua menteri Pulau Pinang berkata akan melaksanakan program bank makanan di kawasan Parlimen itu.

“Di Pulau Pinang saya memulakan program dipanggil Mutiara Food Bank, di mana saya akan mengambil makanan lebihan seperti sayur dan buah dari pasar raya dan ia diberikan kepada keluarga kurang berkemampuan yang kita beri dari pintu ke pintu.”

Dalam pilihan raya 2013, Saifuddin kalah kepada penyandang, Abdul Aziz Sheikh Fadzir daripada Barisan Nasional (BN) dengan perbezaan 1,871.  Kini, beliau membuat kemunculan semula untuk menentang lawan sama daripada BN dan lawan baharu daripada PAS.

Kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baharu yang mempunyai lebih 6,000 undi berdaftar merupakan salah satu daripada lebih 50 kerusi di Semenanjung yang dimenangi pada PRU13 dengan undi majoriti kurang daripada 5%.

Selain Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Saifuddin turut bertanding di kerusi DUN Jerejak, Pulau Pinang. – 2 Mei, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen